Pembekalan RMM capai 63.8 peratus berbanding sasaran

GEORGE TOWN – Pencapaian semasa bagi pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM) di Pulau Pinang ketika ini mencecah 140,395 unit daripada jumlah yang disasarkan di bawah visi Penang 2030 iaitu sebanyak 220,000 unit.

 

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar &Desa, Jagdeep Singh Deo berkata jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 63.8 peratus.

 

 

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45,903 unit RMM jenis A, B dan C telah pun siap dibina manakala 18,354 unit sedang dibina dan 76,138 unit lagi berada dalam perancangan.

 

 

“Suka saya kongsikan bahawa sasaran 220,000 unit menjelang tahun 2030 ini telah ditingkatkan kepada 250,000 unit,” ujar Jagdeep dalam satu sidang media dekat Komtar di sini pagi tadi.

 

 

Turut hadir, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan dan ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen.

 

Jagdeep dalam pada itu memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan atau Selection and Process Enhanement Committee (SPEC) telah menambah bilangan jawatankuasanya daripada sembilan kepada 15 orang.

 

 

“Kita mahu jawatankuasa pemilihan ini lebih tepat dan adil dalam proses pemilihan kerana kita hanya mahu pastikan hanya individu yang layak sahaja ditawarkan RMM,” katanya yang juga ADUN Datuk Keramat.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING