Pembenihan awan jika paras empangan capai 30 peratus – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Proses pembenihan awan di Pulau Pinang hanya akan dilaksanakan sekiranya paras efektif empangan mencecah kapasiti 30 peratus.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keputusan Kerajaan Negeri sama ada untuk melakukan proses pembenihan awan atau sebaliknya adalah berpandu kepada nasihat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), berdasarkan pemantauan semasa yang dilakukan oleh pihak berkuasa air itu.

“Empangan Air Itam kini berada pada (kapasiti efektif) 60 peratus, maka masih belum sampai masanya Pulau Pinang melakukan (proses) pembenihan awan,” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan lawatan ke projek perumahan kos sederhana rendah dan mampu milik, Grace Harmony di Jalan Ahmad Nor dekat Bandar Jelutong dekat sini pagi ini.

Turut sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang serta wakil-wakil pemaju dan agensi berkaitan.

CHOW Kon Yeow.

Menjawab soalan susulan media berhubung kemungkinan catuan air, Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya bersama-sama PBAPP akan terus memantau situasi semasa bagi memastikan bekalan air mencukupi sekurang-kurangnya sehingga musim hujan yang dijangka pada penghujung Mac atau April tahun ini.

Malah, beliau turut menasihati rakyat di negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah dan berjimat-cermat ekoran ancaman kekurangan air dek perubahan iklim yang ketara.

Seruan untuk menjimatkan penggunaan air masih ‘diwajibkan’.

“(Dan) kita perlu bekerjasama dalam mengawal penggunaan air… kalau boleh sifar pembaziran (air),” katanya yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP.

Terdahulu, dalam sidang media berasingan di Komtar, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa memaklumkan bahawa paras empangan utama di negeri ini menyusut ekoran musim kemarau yang melanda negara.

Beliau juga menggesa rakyat di negeri ini agar tidak membiarkan air terbuang terutama ketika musim perayaan.

Melalui laman sesawang PBAPP, sehingga 17 Januari lalu, paras efektif empangan di Air Itam mencatatkan 61 peratus manakala bagi Empangan Teluk Bahang, 38.8 peratus.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD