Pemberian bot pelancongan mampu tingkat pendapatan penduduk Kampung Terus

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) hari ini menyerahkan surat setuju terima dua buah bot pelancongan kepada Koperasi Ibu Tunggal dan Wanita Berhad Seberang Perai Tengah (SPT).

 

Menurut Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin sumbangan bot tersebut kelak mampu meningkatkan pendapatan penduduk Kampung Terus, Penanti berserta kawasan setempatnya.

 

“Ini adalah satu usaha untuk menggalakkan agropelancongan di kawasan kampung dengan melibatkan wanita dan kerjasama nelayan, di samping itu ia boleh menambah pendapatan pesawah melalui agropelancongan sungai.

 

“Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk menaiktaraf jeti Sungai Tembus di Penaga agar pengusaha dapat membawa pelancong menelusuri sungai tersebut untuk melihat lebih 20,000 burung migrasi yang singgah di situ.

 

“Manakala di Changkat, Nibong Tebal, unit nelayan mohon diadakan pasar nelayan, gerai-gerai… di situ ada kira-kira 100 bot dan mereka (nelayan) ada buat pakej memancing,  jadi ini adalah usaha Kerajaan Negeri ketika hadapi pandemik COVID-19 untuk tingkatkan pendapatan nelayan,” ujar Norlela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti sambil menyifatkan penggunaan bot baharu tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pelancongan berasaskan pertanian yang semakin mendapat tempat di Penaga dan Seberang Perai Utara (SPU) kini.

 

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektoral) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Muhamad Husni Mahmud; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terus, Bahruddin Abdullah; Pengerusi Koperasi Ibu Tunggal dan Wanita Berhad SPT, Lathipah Abdul Rahaman.

 

 

Dalam pada itu, Baharuddin ketika bercakap kepada Buletin Mutiara menyatakan bahawa sebelum ini pengusaha terpaksa menyewa bot pelancongan dari pihak lain dan ia melibatkan kos sampingan.

 

 

“Jadi bila ada bot sendiri lebih mudah, kawasan luas, program pun kerap diadakan seperti santai Ahad Sungai Terus.

 

“Untuk harga kita akan bincang semula dengan koperasi untuk penetapan harga, di sampung mendapat keuntungan pada masa sama kita tidak mahu menekan pelancong,” katanya lagi.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING