Pembesaran PIA, Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan MAHB

GEORGE TOWN – Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mempunyai potensi untuk dinaiktarafkan kepada kapasiti 25 juta penumpang setahun (mppa) dalam tempoh 30 tahun berdasarkan Kajian Induk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN Airport Masterplan) oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata bahawa kapasiti tersebut dinilai setelah PEN Airport Masterplan siap pada tahun lalu.

“Ia lebih besar daripada perancangan awal (12 mppa) kerana berdasarkan kajian, kapasiti ini akan mencapai maksimum pada tahun 2028 dan 16 mppa (tahun 2033).

“Pembesaran ini adalah meliputi Fasa 0 hingga Fasa 4, dan Fasa 0 dijangka mengambil masa di antara 48 hingga 60 bulan untuk disiapkan,” ujarnya pada sesi taklimat kepada Kerajaan Negeri di sini semalam.

Terdahulu, delegasi MAHB yang diketuai Datuk Seri DiRaja Dr. Zamry Abd. Kadir selaku Pengerusi MAHB mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Pengurus Besar Perhubungan Stakeholder MAHB dan Hal Ehwal Regulatori MAHB, Datuk Abdullah Kadir Bacha; Kamaruzzaman Razali (Pengurus Besar Malaysia Airports Sdn. Bhd.); Mohd. Zubir Mohd. Meerah (Pemangku Pengurus Besar Perancangan & Pembangunan MAHB) dan Mohd. Nadzim Hashim (Pengurus Kanan PIA) merupakan antara delegasi MAHB yang turut serta.

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif); Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) dan Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC).

Sebagai rekod, infrastruktur PIA mula dibangunkan pada tahun 1977 dan beroperasi sepenuhnya pada 1979 dengan kapasiti 1.5 mppa. Difahamkan, demi menampung jumlah penumpang yang semakin ramai, beberapa kerja pembesaran telah dijalankan pada tahun 1998 bagi menaik taraf PIA kepada kapasiti 3.5 mppa dan 6.5 mppa (2013).

Kon Yeow dalam responsnya berkata bahawa Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan MAHB untuk memastikan projek pembesaran PIA dapat berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan projek pembesaran PIA ini menjadi kenyataan,” ulas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI