Pembubaran DUN, Kon Yeow lihat dari ‘dua sudut’

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow membayangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mungkin akan berlaku selepas Mei ini.

 

 

Perkara tersebut menurut beliau adalah berdasarkan beberapa faktor politik dan undang-undang termasuk ‘peluang’ berbincang bersama-sama Menteri-menteri Besar yang akan terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

 

 

“Saya lihat dari dua sudut iaitu sudut politik iaitu penuh satu penggal, biasanya lima tahun… maksudnya tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas (9 Mei 2018), kalau kira tahun, ianya 8 Mei (ini) untuk lengkap satu penggal.

 

 

“Tetapi, ini berbeza dengan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara yang mana lima tahun itu dikira mulanya tarikh pertama DUN bersidang selepas pilihan raya… setiap negeri ada tarikh-tarikh berbeza iaitu ada Jun, Julai, dalam kes Pulau Pinang kita sidang pada 3 Ogos (2018).

 

 

“Jadi, kalau ikut Perlembagaan, negeri-negeri ini perlu bubar genap pada tarikh apa yang saya sebut iaitu tarikh DUN bersidang semula, namun dari segi politik, 8 Mei ini sudah genap lima tahun dari PRU lepas, jadi lepas Mei, DUN boleh dibubarkan pada bila-bila masa,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

 

 

Tambah Kon Yeow, pada bulan ini (Februari 2023), beliau akan ke Putrajaya dan Kuala Lumpur yang mana turut akan dihadiri oleh Menteri-menteri Besar yang bakal terlibat dengan PRN berkaitan.

 

 

Justeru, beliau melihat pertemuan penting tersebut mampu dijadikan platform perbincangan bagi menentukan tarikh pembubaran DUN masing-masing.

 

 

“Pertengahan Februari ada perjumpaan Perdana Menteri bersama-sama barisan Menteri Besar dan Ketua Menteri, satu lagi peluang adalah pada Majlis Mesyuarat Raja-Raja di Istana Negara, semua berlaku pada minggu yang sama.

 

 

“Sekiranya berjaya diseragamkan (pembubaran), kita mungkin akan buat PRN sekaligus pada Jun atau Julai,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI