Pembukaan EY bakal tarik lebih ramai bakat berkualiti – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian pembukaan pejabat baharu Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY) Pulau Pinang di di Wisma AIA dekat Tanjong Tokong dekat sini pada 29 Ogos 2022.

TANJUNG BUNGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan rasa gembira dengan langkah pelaburan Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY) membuka pejabat baharu di Pulau Pinang bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan pada peringkat serantau.

Menurut Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pembukaan pejabat EY itu sekali gus akan menarik lebih ramai bakat berkualiti termasuk dari negeri-negeri jiran untuk bekerja di Pulau Pinang.

“Saya juga telah dimaklumkan bahawa EY merupakan sebuah pasukan berpengalaman dari pelbagai disiplin yang terdiri daripada warga tempatan serta lain-lain warganegara yang berkhidmat kepada pelanggan dari dalam dan juga luar rantau ini.

“Situasi berkaitan secara tidak langsung menggambarkan Pulau Pinang sebagai hab bakat iaitu mampu menarik beberapa bakat terbaik serta berkelayakan tinggi dari negeri jiran di Malaysia (ke Pulau Pinang).

“Dan, dengan pengenalan konsep EY@Work kalian yang baharu dan mengagumkan di pejabat ini, saya tidak ragu-ragu bahawa ia akan menggalakkan lagi persekitaran (kerja secara) anjal bagi menyampaikan perkhidmatan pelanggan luar biasa, menarik dan mengekalkan bakat terbaik,” jelasnya semasa merasmikan pembukaan pejabat baharu EY Pulau Pinang di Wisma AIA dekat Tanjong Tokong dekat sini pada 29 Ogos 2022.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya menerusi Visi Penang2030 sebelum ini menubuhkan Digital Penang dengan tujuan yang jelas dan kukuh iaitu mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi serta digital bukan sahaja secara tempatan malah pada peringkat serantau.

Rakan Kongsi Pengurusan EY di Malaysia, Dato’ Rauf Rashid yang berucap sebelum itu antara lain menyatakan pihaknya berpendapat bahawa Pulau Pinang bukan sahaja mempunyai jumlah bakat yang mencukupi dan berkualiti, malah negeri ini turut mempunyai ketersediaan ekosistem teknologi meluas serta berpotensi untuk dijadikan hab pelaburan serantau bagi sektor perkhidmatan berkaitan.

Turut berucap, Pengarah Urusan SAP, Cynthia Quah.

KETUA Menteri (tiga dari kiri), Zairil Khir Johari (dua dari kanan) bersama-sama barisan peneraju EY semasa acara gimik perasmian pembukaan pejabat firma berkenaan di sini pada pagi tadi.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari yang juga Naib Pengerusi Digital Penang turut sertai majlis tersebut.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yoew berharap Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi perlu memberi tumpuan kepada agenda pembangunan bakat serta skim galakan untuk firma-firma melabur dalam sektor ekonomi yang boleh mencipta lebih banyak peluang kerjaya berkualiti, terutama untuk negeri berpotensi Pulau Pinang.

“Kami berharap Kerajaan Persekutuan membuat tumpuan yang lebih dengan peruntukan dalam sektor perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pembangunan infrastruktur termasuk berkaitan pembangunan digital.

“Pembangunan bakat juga perlu diberikan tumpuan, kami berharap ada berita yang gembira menerusi perbentangan belanjawan (negara tidak lama lagi)”, ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD