Pembukaan PKRC sebagai sokongan elak kemudahan dan fasiliti HPP terjejas

GEORGE TOWN – Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah yang diwujudkan di Kompleks Masyarakat Penyayang (KMP) adalah sebagai sokongan kepada perkhidmatan sedia ada disediakan Hospital Pulau Pinang (HPP), ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Menurut beliau, PKRC berkenaan adalah atas permintaan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi menempatkan pesakit-pesakit berisiko rendah COVID-19.

“Pembukaan pusat ini adalah demi menggelakkan fasiliti disediakan di hospital terjejas dan kawasannya menjadi terlalu padat, maka pesakit yang mempunyai gejala risiko rendah ini boleh ditempatkan di sebuah pusat berhampiran dengan HPP,” responsnya sebagai mengulas pertanyaan pemberita berhubung penyediaan pusat kuarantin serta rawatan berkenaan sejak semalam pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh.

Difahamkan, Dewan CAT dekat KMP yang kini dijadikan sebagai PKRC tersebut mampu menempatkan sehingga 90 buah katil dan telah diserahkan kepada JKNPP untuk diuruskan secara rasminya bermula hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa pusat berkenaan tersebut bukan yang pertama dibuka di Pulau Pinang, memandangkan sebelum ini telah ada dua pusat serupa diwujudkan iaitu masing-masing di Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai dekat Jawi iaitu di dalam kawasan penjara sendiri.

“ Apabila tercetus begitu banyak kes di kedua-dua penjara tersebut, maka pihak JKNPP telah menilai dan menempatkan pesakit di bawah kategori berisiko rendah dalam PKRC penjara sahaja tanpa perlu dirujuk ke hospital.

“Bahkan bukan sahaja di sini (Pulau Pinang), di peringkat Persekutuan juga, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) telah dijadikan pusat kuarantin, malah di negara China sendiri mereka telah membina hospital baharu dalam tempoh dua minggu sahaja,” ulasnya.

Dalam pada itu, Boon Poh memaklumkan bahawa KMP telah diwartakan sebagai Relief Center sekiranya berlaku sebarang bencana atau keperluan, justeru semua pejabat pengurusan yang terletak di KMP telah diarahkan untuk berpindah dari lokasi berkenaan.

“Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyewa di sana juga telah diarahkan keluar sehingga dimaklumkan kelak, manakala pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Mutiara Food Bank kini dipindahkan ke Komtar,” maklumnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING