Pemenang peraduan Buletin Mutiara teruja terima hadiah wang tunai dan baucar menarik

Admin

GEORGE TOWN – Senarai pemenang bagi Peraduan Mewarna, Melukis dan Poster serta secara dalam talian anjuran bersama Buletin Mutiara bersama Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) yang telah berlangsung 15 Januari 2022 hingga 30 April 2022 telah dimuktamadkan.

CHRIS & Kumaresan semasa sesi pemilihan yang telah diadakan baru-baru ini.

Proses pemilihan akhir telah dilakukan oleh tiga juri berpengalaman yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit, ADUN Batu Uban, A. Kumaresan dan ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

Seramai 19 pemenang bertuah telah terpilih bagi ketiga-tiga kategori iaitu peraduan Bakat Si Cilik Mewarna, melukis poster bertemakan Experience Penang: The Diversity of Asia dan pertandingan fotografi atau video secara dalam talian bertemakan bangunan bersejarah di Pulau Pinang serta peraduan fotografi Sakura.

Di samping itu, pemberian hadiah wang tunai dan baucar-baucar percutian turut diberikan kepada para pemenang di tempat tiga teratas serta beberapa kategori saguhati.

Bagi penyertaan yang melibatkan negeri Perak, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak akan diuruskan melalui perkhidmatan pos dan kurier.

Bagi SEE THOE, ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai peraduan berkaitan atas perkongsian rakan-rakan aplikasi WhatsApp.

“Saya menyertai peraduan ini atas perkongsian rakan, kemudian saya melihat halaman Facebook Buletin Mutiara dan berminat untuk turut serta sekadar suka-suka.

“Untuk makluman, saya juga merupakan bekas jurugambar di Penang Global Tourism (PGT), oleh sebab itu saya gemar mengambil gambar bangunan bersejarah serta mempunyai koleksi peribadi,” ujarnya yang memenangi tempat kedua peraduan dalam talian.

Seterusnya, SHERWYND RYLAN KESSLER dan LOO CHEE KHUAN yang sama-sama menyertai peraduan Sakura telah memenangi hadiah baucar hotel dan tempat-tempat menarik di Pulau Pinang.

“Saya juga sertai atas perkongsian rakan di laman Facebook, kemudian terdapat juga peraduan sebelum ini yang saya ingin sertai, tetapi tidak memenuhi kriteria yang diperlukan.

“Selain itu, saya pernah menyertai peraduan melalui agensi lain, cuma pada kali ini saya berubah angin menyertai peraduan Buletin Mutiara dek hadiah yang ditawarkan sangat lumayan,” ujar mereka yang bersependapat.

Sementara itu, bagi LIM XIN YING yang sudah berkali-kali menyertai peraduan ini tidak berpatah semangat untuk tetap memenangi tempat teratas, malah turut mewakili abangnya, LIM WEI XIONG semasa sesi penyampaian hadiah.

“Saya dan abang amat meminati seni lukisan dan sering membuat lakaran di rumah untuk memperbaiki teknik lukisan kami.

“Apa sahaja peraduan yang bakal dianjurkan lagi pada masa hadapan saya tetap akan mencari peluang untuk sertai kerana mempunyai minat yang tinggi dalam seni lukisan,” katanya yang memenangi tempat ketiga peraduan melukis manakala abangnya memenangi tempat kedua.

Mengakhiri sesi tembual, guru-guru yang mewakili pemenang CHEW YU QI dan IMAN NURAISYAH MOHD. FAUZI turut hadir semasa sesi penyampaian hadiah dan berbangga atas kejayaan anak murid mereka.

 


Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai RM800 dengan hanya menyertai peraduan terkini Buletin Mutiara iaitu pertandingan fotografi atau video Ohhh, Durian… yang bakal berakhir pada 31 Julai 2022 ini tertakhluk kepada terma dan syarat.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING