Pemenang peraduan mewarna dan melukis poster 2021 dimuktamad

Admin

GEORGE TOWN – Senarai pemenang bagi peraduan mewarna dan melukis poster anjuran Buletin Mutiara yang berlangsung dari 15 Julai hingga 31 Ogos 2021 telah dimuktamadkan pada hari ini.

 

Proses pemilihan akhir telah dibuat oleh tiga juri berpengalaman yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Rashid; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan pegawai dari Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), D. Sivabalan.

 

Seramai 12 pemenang bertuah telah terpilih bagi ketiga-tiga kategori iaitu peraduan mewarna, melukis poster dan memuat naik gambar nostalgia di laman Facebook.

 

Kesemua pemenang akan dihubungi oleh pihak penganjur dalam masa terdekat.

 

Syerleena Rashid.

Sementara itu ketika ditemui, Syerleena berkata penganjuran peraduan berkaitan dapat menonjol kemahiran dan bakat para peserta secara tidak langsung dapat diserlahkan

 

“Melalui hasil mewarna dan melukis ini, para peserta dapat berkongsi tempat menarik yang mereka telah kunjungi dan mendedahkan keistimewaan negeri Pulau Pinang.

 

“Pihak penganjur diharapkan dapat memperbanyakkan lagi kategori dan penyertaan dari peringkat universiti serta menarik minat si cilik dengan mengadakan pertandingan melalui aplikasi TikTok yang semakin popular kini,” jelasnya kepada Buletin Mutiara selepas sesi pemilihan peraduan pemenang dekat Komtar di sini, sebentar tadi.

 

Goh Choon Aik.

Dalam pada itu, Choon Aik pula mengucapkan tahniah kepada pihak Buletin Mutiara kerana berjaya mencungkil bakat para peserta melalui pelbagai peraduan yang diadakan.

 

“Dapat dilihat para juri sukar menentukan pemenang kerana para peserta sangat kreatif dan kritis berkongsi pengalaman mereka lalu diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan, mewarna dan lain-lain lagi.

 

“Jika tiada halangan di masa hadapan, lebih menyeronokkan jika peraduan dianjurkan secara bersemuka, dan boleh diadakan di tempat-tempat bersejarah di Pulau Pinang mengikut tema yang ditetapkan.

 

“Pihak penganjur juga boleh memperluaskan lagi skop peraduan, dengan itu lebih banyak penyertaan akan diperoleh dengan syarat utama peserta perlu mempunyai keratan peraduan Buletin Mutiara,” ujarnya yang juga ADUN Bukit Tambun.

 

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD