Pemenang Peraduan Mewarna, Melukis Poster dimuktamad

 

GEORGE TOWN – Sebanyak 13 pemenang Bakat Si Cilik Mewarna 1/2018 serta tiga pemenang Pertandingan Melukis Poster Saya Anak Malaysia dimuktamadkan hari ini.

 

Kedua-dua penganjuran yang berlangsung 1 Julai hingga 30 September lalu menerima penyertaan memberangsangkan iaitu 2,000 bagi pertandingan mewarna dan melukis poster (1,000).

 

Jawatankuasa Juri Pemilihan bagi kedua-dua pertandingan tersebut terdiri daripada Lai Hon Meng, (Setiausaha Sulit Kepada Ketua Menteri); S. Tarchayeni (Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri) dan Wan Afifah Wan Mohamad (Penolong Setiausaha Kanan Hal Ehwal Tanah, Pembangunan Tanah dan Komunikasi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri).

 

Ketiga-tiga juri berpendapat penyertaan yang diterima mengekspresikan karya, lukisan dan warna yang cantik lagi unik dan agak susah untuk mereka membuat pemilihan pemenang.

 

Para pemenang bagi Bakat Si Cilik Mewarna 1/2018 berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM250 bagi tempat pertama, RM150 (kedua), RM100 (ketiga) dan 10 hadiah saguhati.

 

Manakala, bagi Pertandingan Melukis Poster Saya Anak Malaysia, RM500 ditawarkan kepada pemenang pertama, RM300 (kedua) dan RM200 (ketiga).

 

Keputusan para juri adalah muktamad dan para pemenang akan dihubungi pihak penganjur dalam tempoh terdekat.

 

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS