Pemenang Peraduan Mewarna, Melukis Poster dimuktamad

Oleh : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Seramai tujuh pemenang Bakat Si Cilik-Mewarna 4.0 serta tiga pemenang Pertandingan Melukis Poster Bertemakan: Saya Pulau Pinang anjuran Buletin Mutiara dimuktamad 27 September lalu di sini.

Jawatankuasa Juri Pemilihan bagi kedua-dua pertandingan tersebut ialah Pegawai Khas Undang-undang kepada Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib, Timbalan Pengurus Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharati dan Ketua Unit Pengurusan Sisa Pepejal Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Oon Lai Kuan.

“Kedua-dua peraduan ini memberi ruang buat para peserta menyatakan gambaran menyeluruh tentang Pulau Pinang.

“(Penganjuran) ia patut diteruskan bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi dewasa juga.

“ Melalui pertandingan seumpamanya, peserta boleh mengekspresikan cara mereka cintakan negeri Pulau Pinang,” ujar Lai Kuan mewakili barisan juru lain selepas selesai sesi pemilihan para pemenang di sini.

Kedua-dua penganjuran yang berlangsung dari 1 April hingga 31 Julai 2017 masing-masing menerima kira-kira 2,000 penyertaan.

Para pemenang peraduan Bakat Si Cilik – Mewarna 4.0 berpeluang membawa pulang wang tunai bernilai RM400 bagi tempat pertama, RM250 (naib johan), RM150 (tempat ketiga) dan empat hadiah saguhati.

Manakala, bagi Pertandingan Melukis Poster Bertemakan: Saya Pulau Pinang, RM500 ditawarkan kepada pemenang tempat pertama, RM300 (naib johan) dan RM200 (ketiga).

Para pemenang akan dihubungi pihak penganjur bagi menuntut hadiah masingmasing dalam tempoh terdekat.