Pemeriksaan awam Projek LRT Bayan Lepas, 97.4 peratus sokong

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 2,850 responden atau 97.4 peratus yang menyertai sesi penyertaan awam menyokong cadangan pelaksanaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sehingga pagi ini (29 Ogos 2019), seramai 2,924 responden telah mengambil bahagian dalam sesi penyertaan awam bagi projek berkaitan sejak 19 Ogos lalu.

 

“Sehingga pagi ini, seramai 2,924 responden telah memberi maklum balas kepada pihak APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) sejak sesi penyertaan awam dibuka kepada umum pada 19 Ogos 2019.

 

“Daripada jumlah itu, 2,850 responden menyokong dan 74 (responden) lagi tidak menyokong,” ujarnya pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Azhar Arshad; Ketua Seksyen (Pengangkutan), Dato’ Lim Hock Seng; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), M. Maheswari serta beberapa wakil daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang.

 

Sesi pemeriksaan awam diadakan bagi memberi informasi serta mengumpul maklum balas orang ramai berhubung cadangan pelaksanaan Projek LRT Bayan Lepas yang akan menjadi sistem LRT pertama di Pulau Pinang.

 

Selain di Tingkat 3, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Komtar, sesi pemeriksaan awam yang mengambil masa selama tiga bulan sehingga 19 November 2019 berkenaan turut diadakan di beberapa lokasi lain.

 

Antaranya di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Bandar Perda; Pejabat APAD (Wilayah Utara) di One Precinct, Lengkok Mayang Pasir dan di Ibu Pejabat APAD di Kuala Lumpur Sentral.

 

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada orang ramai supaya mengambil peluang ini untuk memberikan sebarang komen serta pandangan bagi pelaksanaan Projek LRT Bayan Lepas,” katanya.

 

Dalam pada itu, Maheswari ketika menjawab soalan pemberita memaklumkan bahawa segala maklumat berhubung cadangan pelaksanaan Projek LRT Bayan Lepas berkaitan boleh diakses melalui laman sesawang Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTMP).

 

Walau bagaimanapun, menurutnya, maklumat terperinci berhubung jajaran tersebut hanya boleh diakses oleh pihak tertentu yang berkaitan.

 

“Hal ini kerana, kita (pihak Kerajaan Negeri) tidak mahu sebarang spekulasi yang keterlaluan tercetus,” ulas beliau.

 

Cadangan pelaksanaan Projek LRT Bayan Lepas meliputi jarak 29.5 kilometer dan akan menjadi laluan utama transit rel di negeri ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS