Pemeriksaan kenal pasti empat lokasi ‘panas’ denggi – Exco

BATU LANCHANG – Empat kawasan dikenal pasti sebagai lokasi ‘panas’ oleh Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (Kesihatan) kerana mencatat kes demam denggi tertinggi dan menyebabkan kematian bagi minggu ke-33 (16 hingga 22 Ogos 2015).

Empat lokasi itu adalah Jalan York, Apartmen Sri Saujana dan Sri Wangsa di Daerah Timur Laut serta Lengkok Kenari di Daerah Barat Daya.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi lebih berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes berbanding mereka yang tinggal di desa.

“Sehingga 22 Ogos lalu, sejumlah 3,453 kes denggi dilaporkan berbanding 1,236 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2014, iaitu peningkatan 2,217 kes atau 179.37 peratus.

“Manakala, lapan kematian dilaporkan berbanding lima bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya ketika mengadakan tinjauan sekitar Apartmen Mewah Court di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Law Heng Kiang yang juga merupakan Exco Pembangunan Pelancongan serta pegawai-pegawai dari Pejabat Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, jelas Afif, terdapat 16 lokasi wabak terkawal iaitu di Apartmen Mutiara, Jalan Ayer Rajahm, Jalan Kennedy, Kampung Baru, Lebuh Kimberly, Pangsapuri Pelangi, Pintasan Cecil, Apartmen Taman Kristal, Tanjung Court dan Kondominium Relau Indah bagi Daerah Timur Laut.

“Bagi Daerah Barat Daya pula, Lintang Sungai Ara, Kondominium Springfield, Lorong Kenari dan Blok Asoka dikenal pasti sebagai lokasi wabak terkawal termasuk Taman Sri Rambai dan Rumah Pangsa Kerajaan Negeri di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT),” ujar beliau.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dalam pada itu turut menyeru semua penduduk terutama di kawasan berkepadatan tinggi untuk melakukan pemeriksaan dalam dan luar kawasan rumah masing-masing bagi mengenal pasti dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu.

“Cuma perlukan 10 minit seminggu sekali sahaja untuk membawa perubahan sekaligus mengurangkan risiko gigitan nyamuk aedes,” jelasnya yang turut meminta supaya penghuni rumah pangsa memberikan kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan menjalankan semburan kabus (fogging) di dalam kediaman masing-masing.