Pemeriksaan kesihatan pokok menggunakan resistograph jamin keselamatan awam

Admin

PULAU TIKUS – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mula mengguna pakai teknologi resistograph bagi memeriksa kesihatan pokok-pokok teduhan yang berisiko kepada orang awam.

 

Ahli Majlis bagi MBPP, R. Kaliyappan berkata, pengadaptasian teknologi tersebut penting dalam menjaga keselamatan orang ramai dan harta benda.

 

“Kita ada lebih 14,000 pokok (di bahu jalan) yang didaftarkan di kawasan pulau dan kita akan jalankan pemeriksaan langkah demi langkah sekiranya terdapat aduan.

 

“Jadi hari ini kita akan tunjukkan cara penggunaan resistograph dengan kaedah menyuntik pokok sebagai langkah awal melakukan pemeriksaan kesihatan pokok itu sendiri,” ujar beliau ketika memberi penerangan kepada pihak media.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Ahli Majlis bagi MBPP, Abdul Latif Mohamad; Pengarah Jabatan Landskap MBPP, Azizul Fahmi Muhamad dan wakil kontraktor.

 

Bercakap kepada pemberita, Chun Kit berkata bahawa inisiatif MBPP melalui teknologi tersebut amat penting dalam melalui perubahan cuaca yang tidak menentu kini.

 

“Pulau Pinang sebelum ini turut melalui kesan perubahan cuaca tidak dapat diramal dengan hujan lebih lebat, angin yang kuat dan masa akan datang cuaca seluruh dunia akan terkesan.

 

“Oleh itu, sebagai pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri, kita mesti bersedia berdepan situasi yang sentiasa berubah ini.

 

“Pemeriksaan pokok ini penting bagi memastikan keselamatan nyawa dahulu dan selepas itu keselamatan harta benda,” jelas Chun Kit.

 

Difahamkan dalam menjaga kelestarian pokok-pokok teduhan di bahu jalan, MBPP mempunyai pangkalan data dan tanda di lebih 14,000 pokok yang direkodkan bagi memudahkan tindakan diambil sekiranya terdapat aduan.

 

Dalam satu demonstrasi yang ditunjukkan, pihak kontraktor menyuntik jarum dari resistograph bagi mendapatan bacaan kesihatan batang pokok itu sendiri.

 

Daripada bacaan terbabit, langkah sewajarnya untuk diambil ke atas pokok terbabit dapat ditentukan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBPP