Pemilik iklan haram hadapi risiko nombor telefon dipotong – Ahli Majlis

Admin

SUNGAI PINANG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini berkerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras kebanjiran iklan-iklan haram di sini.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong berkata, antara usaha yang dijalankan ialah mendapatkan kerjasama daripada pihak SKMM untuk membuat tindakan pemotongan nombor telefon syarikat atau pihak-pihak berkaitan.

“Sebelum tindakan diambil, Bahagian Pelesenan MBPP terlebih dahulu akan memaklumkan kepada pemilik-pemilik iklan dan kain rentang terbabit melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menurunkan iklan masing- masing.

“Jika tiada sebarang maklum balas ataupun tindakan susulan daripada pihak berkaitan, MBPP akan memaklumkan nombor (telefon) tersebut kepada SKMM bagi tindakan seterusnya iaitu untuk membuat pemotongan,” katanya selepas operasi menurunkan sepanduk, banting dan iklan tanpa permit sah di sekitar kawasan Jelutong Barat di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli-ahli Majlis MBPP, Saiful Azwan Abdul Malik dan Tan Chiew Choon.

Sebagai makluman, sehingga Februari 2017, sejumlah 86 SMS telah dihantar oleh MBPP kepada pemilik iklan-iklan haram dan 14 daripadanya telah mengemukakan respons.

Sehingga hujung tahun 2016, MBPP juga telah menurunkan sejumlah 18,415 iklan haram yang kebanyakkannya terdiri daripada iklan ah long, tuisyen dan agen hartanah.