MBPP lancar van kaunter bergerak kedua

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melancarkan van kaunter bergerak cukai taksiran kedua sebagai satu langkah proaktif pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memberi kemudahan kepada pembayar cukai di negeri ini.

Ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang berkata, sebelum ini MBPP telahpun memperkenalkan van kaunter bergeraknya yang sulung pada 1 Disember 2015.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila sejumlah 12,149 transaksi bil direkodkan pada tahun lalu (2016) dengan anggaran 800 hingga 1,000 transaksi bil setiap bulan.

“(Dan) dengan adanya van kedua ini yang akan meliputi seluruh kawasan pulau, diharap dapat memudahkan lagi pembayar cukai di sini menjelaskan bayaran bil masing-masing,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Gantian bagi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan MBPP pada majlis pelancaran kemudahan berkaitan sejurus selepas Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di sini 23 Februari lalu.

Menurut Soon Siang, operasi kaunter itu akan bergerak setiap hari (Isnin hingga Jumaat) bermula pada jam 9 pagi hingga 3.30 petang mengikut lokasi- lokasi yang dijadualkan. (Rujuk jadual).

Van yang telah diubahsuai dan dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) itu bukan sahaja berfungsi sebagai satu pusat sehenti bagi membayar cukai taksiran MBPP, sebaliknya, ia turut menawarkan perkhidmatan bayaran bil lain-lain antaranya, bil MBPP, bil air (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, PBAPP), bil sewaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), bil caj servis PDC Setia Urus dan bil cukai taksiran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) secara tunai, cek dan wang pos.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Operasi Kaunter Bergerak MBPP ini, sila hubungi Unit Pembilang Wang, Jabatan Perbendaharaan MBPP di talian 04 – 259 2179 atau Unit Aduan di talian 04 – 259 2058.