Pemilik kilang di Perai diseru mainkan peranan jadikan Pulau Pinang negeri hijau – Ramasamy

Admin

PERAI – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy menyeru kepada pemilik-pemilik kilang di Kawasan Perindustrian Zon Bebas Cukai Perai untuk turut memainkan peranan ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau menjelang 2030.

Jelasnya, sebagai sebuah kawasan perindustrian, Perai memerlukan program penghijauan seperti aktiviti penanaman pokok yang selaras dengan dasar Kerajaan Negeri untuk mewujudkan pembangunan yang mampan.

Prof. Dr. P. Ramasamy berucap merasmikan Program Penanaman Pokok Tahunan Seberang Perai.

“Program penanaman pokok cukup bermakna kerana Perai merupakan kawasan perindustrian yang memerlukan banyak usaha ke arah penghijauan.

“Oleh itu, pemilik-pemilik kilang dan perusahaan di sini perlu memberi perhatian mengenai perkara ini dan menyalurkan bantuan melalui pelbagai program penanaman pokok di kawasan ini (Perai),” katanya semasa merasmikan Program Penanaman Pokok Tahunan Seberang Perai dekat Lorong Perusahaan 4, di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshel dan Jason Raj; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Kamarul Haizal Koderat; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Inderawasih, Datuk Ng Hooi Lai; Pengerusi JKKK Chai Leng Park, M.Thuraisingam serta komuniti setempat.

Difahamkan, sebanyak 70 batang pokok jenis Samanea Saman atau hujan-hujan (rain tree) berjaya ditanam pada program yang memasuki tahun kelima pada tahun ini.

Pokok tersebut disumbangkan oleh Pejabat ADUN Perai dengan peruntukan berjumlah RM12,000 manakala kemudahan logistik pula dikendalikan oleh pihak MPSP.

Menguas lanjut, Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menzahirkan harapan agar program seumpamanya dapat dipergiatkan lagi pada masa-masa akan datang.

“Kita juga menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama menjaga pokok-pokok yang ditanam supaya usaha penghijauan yang dilaksanakan ini tidak sia-sia,” serunya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS