Pemilik ladang perlu tampil sahkan pelupusan ternakan ASF bagi proses pampasan

Admin

PANTAI JEREJAK – Tiga lagi ladang disahkan dijangkiti wabak African Swine Fever (ASF) menjadikan keseluruhan 21 ladang kini di negeri ini sehingga semalam.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa ladang-ladang terlibat adalah terletak di Seberang Perai.

 

 

“Ini merupakan virus yang senang merebak seperti diumumkan dahulu, tetapi masih ada ladang-ladang diuji negatif, sebanyak 21 positif kini.

 

 

“Setakat ini, lebih 4,000 ekor babi telah dimusnahkan, dalam dua tiga hari ini kita akan buat persiapan meneruskan usaha (pelupusan babi) jadi penternak perlu tampil bagi proses pampasan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” ujarnya dalam satu sidang media bersempena Majlis Sambutan Rumah Terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang di sini semalam.

 

 

Kon Yeow dalam pada itu turut meminta pemilik-pemilik ladang tampil bagi mengesahkan bilangan ternakan yang dilupuskan untuk proses pampasan daripada JPV.

 

 

“Sebagai tambahan, ini adalah wabak yang perlu dimaklumkan apabila ianya berlaku dan turut termaktub dalam akta yang wajib dilaporkan sekiranya terdapat kes jangkitan dalam ladang,” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Sebagai rekod, terdapat 124 ladang ternakan babi beroperasi di Pulau Pinang iaitu sejumlah 64 ladang di Seberang Perai Utara (SPU), 52 di Seberang Perai Selatan (SPS), empat di Seberang Perai Tengah (SPT) dan empat di bahagian pulau membabitkan jumlah keseluruhan 267,348 ekor babi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS