Pemimpin Berkongsi : ‘Full lockdown’, tiada masalah sidang Parlimen dibuka untuk bahas Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat

Admin

GEORGE TOWN – Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mahu dikuatkuasakan pada masa terdekad ekoran 6,804 kes baharu positif COVID-19 yang direkodkan pada 20 Mei 2021 adalah paling tinggi dalam negara, langkah Kerajaan Persekutuan itu tetap bukan alasan untuk tidak membuka semula sidang Parlimen.

JAGDEEP Singh Deo

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa perlu ada perbincangan secara menyeluruh melibatkan semua pihak berkaitan pakej rangsangan ekonomi yang mahu dilaksakana dalam tempoh PKP penuh atau ‘full lockdown’ supaya tidak ada lagi sektor rakyat yang terjejas sebagaimana dalam PKP kali ketiga (PKP 3.0) sekarang.

Tegasnya lagi, banyak sektor ekonomi rakyat terjejas semasa PKP 3.0 disebabkan Kerajaan Persekutuan tidak melanjutkan tempoh pelaksanaan moratorium serta memperluaskan lagi program bantuan kewangan berwajib.

“Perbezaannya, antara dahulu dan sekarang adalah kes harian positif COVID-19 lebih 6,000 memang begitu membimbangkan semua pihak.

“Keselamatan dan kesihatan awam rakyat adalah paling utama, kerana itu sebelum ini kita (Kerajaan Negeri) harap bentuk PKP yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan (di Pulau Pinang) mesti ambil kira keseimbangan antara (aktiviti) ekonomi dan kesihatan awam serta berdasarkan (laporan) penilaian risiko (yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, JKNPP).

“Justeru, kalau nak ‘lockdown’ macam PKP 1.0 (pada 18 hingga 31 Mac 2020), mesti bentangkan semula Pakej Rangsangan Ekonomi yang meliputi semua sektor yang bakal terjejas, tidak boleh sekadar rakyat diperintahkan ‘berkurung’ dalam suatu tempoh yang lama tanpa ada langkah moratorium dan bantuan-bantuan kewangan untuk mereka kekal duduk di rumah,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat semasa dihubungi pemberita Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB pada 21 Mei 2021.

Semalam, Buletin Mutiara turut membuat tinjauan umum di bahagian Seberang Perai, susulan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan yang dilaporkan berkata bahawa keputusan sama ada Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan penuh atau ‘full lockdown’ seperti diperkatakan pelbagai pihak, dijangka akan dibincangkan pada petang ini.

‘Full lockdown’ yang dimaksudkan adalah PKP secara penuh dengan menutup semua ekonomi kecuali sektor keperluan berkaitan air, elektrik, tenaga, komunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan sebagaimana PKP 1.0 tahun lepas.

Rata-rata responden dalam kalangan peniaga memberitahu bahawa mereka tidak ada masalah sekiranya ‘PKP penuh’ dilaksanakan dengan syarat ada sistem sokongan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membela semua sektor ekonomi rakyat yang terjejas kelak.

MUHAMMAD Faiz Fadzil

Mengulas lanjut mengenai maklum balas para peniaga berkenaan, ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil berkata persidangan Dewan Rakyat perlu segera dibuka untuk melumatkan lagi perbincangan berhubung cadangan-cadangan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat bagi tempoh PKP penuh, jika mahu dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Persekutuan sebelum ini dah laksanakan pun Pakej Rangsangan Ekonomi tanpa melalui persidangan Parlimen, dan sekarang kita telah lihat hasilnya iaitu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tidak berada pada tahap efisen seperti negara-negara maju yang lain, walhal populasi Pulau Pinang dalam sektor perkilangan memang perlu vaksin ini.

“Sia-sia kalau Kerajaan Persekutuan nak laksana PKP penuh bagi satu tempoh, tapi pergerakan program pemberian vaksin kepada mereka yang berada dalam kluster kilang masih ditakuk lama (iaitu tidak dapat vaksin disebabkan masalah perbekalan), kelak kita akan dapat hasil yang hampir sama iaitu kes baharu tetap empat angka.

“Ada tubuh Jawatankuasa Khas dengan nak melibatkan wakil pembangkang pun, nampak ‘tak berjalan’ seperti dijanjikan.

“Parlimen adalah suatu platform boleh bincang semua masalah rakyat melalui wakil-wakil mereka (Ahli Parlimen) berkaitan bentuk-bentuk Pakej Rangsangan Ekonomi secara menyeluruh dan telus bagi tempoh pelaksanaan ‘full lockdown’ ini.

“Semua wakil rakyat telahpun menerima vaksin, Kerajaan Persekutuan pun memang boleh mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP), jadi apa masalahnya untuk buka semula Parlimen untuk bincang mekanisme pelaksanaan moratorium, pakej-pakej bantuan kewangan untuk semua rakyat yang terjejas semasa ‘PKP penuh’ nanti serta pembiayaan-pembiayaan lain lagi di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negara,” jelasnya lagi.

Lagipun, katanya lagi, ramai dalam kalangan pemimpin peringkat pusat pun menggesa Parlimen dibuka untuk tujuan perbincangan bentuk-bentuk Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat jika PKP penuh mahu dilaksanakan.

“Ketika sebuah badan penyelidikan melaporkan pentadbiran Muhyiddin begitu popular di sini rakyat, wakil-wakil rakyat BN juga memberi perbahasan mengenai pakej rangsangan ekonomi rakyat secara telus dilaksankaan.

“Bagi saya kalau PKP penuh dilaksanakan pun, tak ada masalah untuk Parlimen dibuka bagi bahas pakej-pekej rangsangan ekonomi demi menjayakan pelaksanaan PKP penuh tersebut,” ujarnya lagi.