GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat delegasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diketuai Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan di Komtar sebentar tadi.
Mengiringi beliau, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rosmahwati Ishak; Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak JKM, Dr. Sopian Brahim dan Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan JKM, Arfan Sulaiman.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Rozita Ibrahim.

Pertemuan yang memfokuskan kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan JKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu turut membincangkan beberapa isu kebajikan serta sosial semasa yang semakin mencabar.
Antara yang dibangkitkan adalah usaha pemutihan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di negeri ini bagi memastikan lebih banyak premis beroperasi secara sah, selamat dan mematuhi piawaian yang ditetapkan demi kesejahteraan kanak-kanak.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh usaha merangka akta baharu berkaitan pengemis dan gelandangan yang lebih komprehensif terhadap isu-isu sosial termasuk kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Malah, pihak JKM juga menyambut baik usaha Kerajaan Negeri menubuhkan Pusat Logistik Kemanusiaan Bencana di Bukit D.O., Seberang Perai Tengah sebagai hab penyelarasan bantuan ketika berlakunya bencana alam mahupun insiden kecemasan industri.

Menyentuh aspek penjagaan warga emas, kedua-dua pihak berharap lebih ramai sukarelawan tampil menyertai Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) memandangkan keperluan penjaga (caretaker dan caregiver) semakin meningkat.
Pada masa sama, kedua-dua pihak turut membincangkan mengenai usaha memperkasa penerima bantuan melalui penyediaan peluang pekerjaan agar mereka mampu berdikari dan meningkatkan taraf hidup tanpa bergantung kepada bantuan semata-mata.
Akhir pertemuan, JKM memuji tindakan pantas dan proaktif Kerajaan Negeri selepas berjaya mengendalikan kes kanak-kanak yang dibuang sehingga disatukan semula dengan keluarga di Indonesia, sekali gus membuktikan komitmen melindungi kebajikan serta hak kanak-kanak merentasi sempadan negara.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI