Penaiktarafan Lebuh Light dan Queen Victoria Memorial Clock Tower siap sebelum penganjuran APUF 2019, maklum Exco

PADANG KOTA – Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperuntukan sejumlah hampir RM30 juta bagi melaksanakan beberapa projek penambahbaikan meliputi penaiktarafan tembok di Padang Kota Lama, kubu Fort Cornwallis, fountain garden, laluan jalan di Lebuh Light serta  Queen Victoria Memorial Clock Tower.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa, kesemua projek tersebut kini berada di pelbagai peringkat penaiktarafan, kecuali fountain garden yang sudah siap dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Januari lalu.

Jelasnya, dua projek yang akan disiapkan dalam jangka masa terdekat adalah penaiktarafan laluan jalan Lebuh Light dan Queen Victoria Memorial Clock Tower.

“Untuk projek laluan jalan Lebuh Light, ia dijangka siap dalam tempoh dua minggu dari sekarang iaitu sebelum bermulanya penganjuran Asia Pasific Urban Forum (APUF) 2019 pada 14 Oktober ini, manakala Queen Victoria Memorial Clock Tower jika mengikut jadual, Disember ini baru akan siap.

“Tetapi, berita gembiranya Datuk Bandar telahpun menyatakan komitmen untuk menyiapkannya sebelum penganjuran APUF 2019 iaitu serentak dengan (penaiktarafan) laluan jalan Lebuh Light ini,” ujarnya ketika mengadakan lawatan mengejut ke projek penaiktarafan berkenaan di sini pagi ini bagi memastikan projek-projek yang sedang berjalan dapat disiapkan mengikut jadual.

Penaiktarafan laluan jalan Lebuh Light bernilai RM1,325,000 dan Queen Victoria Memorial Clock Tower (RM150,000) masing-masingnya dibiayai penuh oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; S. Bharati (Timbalan Pengurus Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang, CMI); Murali Ram (Pengarah Program Think City) dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, mengikut jadual kerja-kerja penaiktarafan tembok Padang Kota Lama kini telah mencapai 15.9 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos tahun 2021.

“Bagi kerja-kerja penaiktarafan kubu Fort Cornwallis juga masih dalam pelaksanaan dan hanya akan siap sepenuhnya pada tahun 2022,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, perancangan penaiktarafan bahagian timur iaitu bermula daripada Port Swettenham sehingga ke kawasan jeti di Weld Quay, projek ini akan dijalankan dengan kerjasama di antara Think City, Penang Port Commission (PPC) dan George Town Conservation and Development Corporation Sdn. Bhd. (GTCDC).

“Bagi pengubahsuaian dan penaiktarafan bahagian timur ini, idea pelaksanaannya akan diambil daripada input-input semua pihak yang berminat,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING