Penang CAT Centre sedia khidmat pemadanan 13,000 peluang kerja

Admin

GEORGE TOWN – Lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor perniagaan dan industri kini boleh didapati melalui Penang CAT Centre, iaitu platform mencari kerjaya idaman secara dalam talian dengan ciri-ciri pemadanan kerja serta syor peluang pekerjaan dimaklumkan terus kepada calon.

Mengulas lanjut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar memberitahu bahawa platform itu diharap dapat membantu penduduk negeri ini yang hilang mata pencarian ataupun hilang kerja akibat pandemik COVID-19 untuk segera memilihkan ekonomi masing-masing.

Tambah beliau lagi, inisiatif yang dilakukan oleh Penang CAT Centre ini adalah salah satu Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang yang mula dilaksanakan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 8 Mei lepas.

“Penang CAT Centre akan bergerak lebih aktif lagi, fungsinya seperti agensi Persekutuan, JobsMalaysia yang melakukan kerja-kerja pemadanan kerjaya antara calon dan majikan (iaitu) syarikat pelabur dan penggerak industri.

“Melalui (agensi negeri) InvestPenang yang bertanggungjawab menguruskan Penang CAT Centre, selepas COVID-19, dijangka lebih banyak lagi pelabur baharu ke negeri ini, dengan jumlah peluang pekerjaan sedia dan dan peluang kerjaya baharu akan wujud, adalah kira-kira 13,000,” jelasnya dalam telesidang Sembang Penang Produktif: Penang Lawan COVID-19 pada pagi ini.

 

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Ab. Rahim Yusoff yang mengemudi sesi telesidang anjuran bersama Kerajaan Negeri dan MPC Wilayah Utara tersebut.

Menurut Abdul Razak, calon hanya perlu berkongsi maklumat peribadi termasuk tahap kelulusan akademik, rekod pengalaman kerja serta jenis kerjaya yang dicari, menerusi portal penangcatcentre.my.

Sebelum itu, Abdul Razak memberitahu bahawa Kerajaan Negeri adalah paling awal melancarkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang berjumlah RM151 jutab berbanding negeri-negeri lain, demi membela hampir semua sektor rakyat yang terjejas, akibat PKP.

Pun begitu, menurut beliau, pertumbuhan sektor buruh menguncup, dengan menyaksikan ramai terjejas daripada segi pendapatan harian hatta ada yang hilang kerja akibat pandemik COVID-19.

Justeru, beliau berharap agar kerja-kerja pemadanan kerjaya yang dilakukan oleh Penang CAT Centre dapat mempercepatkan usaha Kerajaan Negeri dalam memulihkan kembali teras ekonomi penduduk yang terjejas, kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB