Penang Digital Library @Batu Maung ke arah hadapi gelombang IR4.0

Admin

BATU MAUNG – Pembukaan perpustakaan digital ketiga, Penang Digital Library @Batu Maung merupakan inisiatif yang tepat masanya sebagai usaha membantu Kerajaan Negeri menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sebagai sebuah negeri perindustrian dan bergantung kepada modal insan, pengkhususan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) adalah sangat diperlukan dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan serta teraju utama dalam pendidikan STEM.

“Sebagai sebuah negeri perindustrian, kita bergantung kepada modal insan yang berbakat dan berkemahiran tinggi, tumpuan kepada STEM sangat diperlukan.

“Diilhamkan dengan menggunakan konsep dan inisiatif sama daripada projek yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri, maka Penang Digital Library @Batu Maung ini bakal menjadi evolusi perpustakaan digital di Daerah Barat Daya (DBD).

“Konsep perpustakaan ‘komuniti’ seperti ini merupakan idea Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform dan rangkaian lebih luas ke setiap pelosok negeri ini, dan yang terbaru Penang Digital Library @Butterworth akan dibuka tidak lama lagi,” ucapnya pada Majlis Perasmian Perpustakaan Digital @Batu Maung di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan S. Bharati (Timbalan Pengarah Perbadanan Ketua Menteri, CMI).

Penubuhan perpustakaan digital tersebut merupakan inisiatif 4P (People Public Private Partnership) di antara syarikat multinasional dan tempatan membabitkan kawasan industri di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung antaranya Mahsing Group, Intel, Inari Technolgy, Telekom Malaysia, SNS Network serta Southbay Plaza.

Lokasi di Southbay Plaza, perpustakaan digital berkenaan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

Difahamkan, akses buku yang terdapat di sini adalah dari server Penang Digital Library (PDL) yang boleh dimuat turun secara percuma oleh pelawat.

Dalam pada itu, Bharati dalam sidang media memberitahu bahawa terkini PDL mempunyai 4,000 pusat data (database) buku, dan pada tahun 2020 menerusi kerjasama dengan Perpustakaan Negara, sebanyak 2,000 database buku lagi akan ditambah.

“Manakala, perkembangan Penang Digital Library @Butterworth telah mencapai 85 peratus kemajuan dan dijangka dibuka kepada pelawat pada Januari tahun hadapan,” maklum beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: NUR AFIQA ZAINUDI
Video: DARWINA MOHD. DAUD