Penang FC sedia untuk perlawanan pertama, ayuh penuhkan stadium 10 Ogos ini!

29e3b0c4 f84a 4d92 a906 fd02ffe3f5e9

GEORGE TOWN- Pasukan bola sepak Penang FC kini berada dalam momentum terbaik menjelang aksi sulung Liga Malaysia menentang Terengganu FC yang bakal berlangsung pada 10 Ogos ini di Stadium Bandaraya.

f9bb384b 451a 467f bea9 d59a58165daf

Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail memberitahu persiapan pasukan yang bermula sejak lapan minggu lalu menunjukkan perkembangan positif dengan tahap kecederaan yang sangat minimum dalam kalangan pemain.

 

”Setakat ini, kami sudah melalui lapan minggu persiapan intensif bersama  pemain-pemain  yang telah memberi bayangan awal kepada pembentukan kesebelasan utama.

 

“Keseluruhan skuad menunjukkan prestasi baik, memberikan komitmen sepenuh hati ketika latiahan dan aksi pra musim dalam menghadapi cabaran liga musim ini,” ujarnya ketika ditemui di pejabat Penang FC di sini pagi tadi.

Beliau dalam pada itu turut menyentuh mengenai aksi persahabatan menentang Terengganu FC sebelum ini yang menyaksikan anak didiknya tewas 1-3.

“Saya terima keputusan dengan positif sebab itu adalah percubaan membentuk pasukan dan menganggap keputusan itu sebagai peluang untuk menganalisis kekuatan serta kelemahan lawan.

“Perlawanan itu beri kami ruang menilai, kita tahu apa perlu diperbaiki, tambah baik dan sepanjang lapan aksi pra musim ini amat membantu.

“Saya yakin, dengan bermain di laman sendiri serta semangat pemain dan sokongan peminat, Penang FC berupaya mencatat tiga mata penuh dalam perlawanan pertama kelak,” maklum Wan Rohaimi yang menjadi musim kedua baginya membimbing Penang FC.

Wan Rohaimi turut menekankan bahawa perlawanan pertama musim ini amat penting kerana ia bakal mencorakkan hala tuju pasukan sepanjang musim.

“Kami sasarkan kedudukan dalam kelompok tujuh teratas, seperti yang telah diumumkan sebelum ini sebagai indikator petunjuk prestasi (KPI) pasukan.

“Dengan semangat juang tinggi, disiplin serta kerjasama semua pihak, pemain, kejurulatihan hingga ke pengurusan saya percaya kita boleh capai lebih daripada itu,” ulasnya lanjut.

Beliau turut mengajak penyokong setia Harimau Kumbang untuk hadir beramai-ramai ke stadium bagi memberikan semangat sebagai pemain ke-12 dalam usaha mencipta permulaan cemerlang musim ini.

460e8d9d 1639 4d0c 8aac c445a4bc85cf

Bagi pemain penyerang, Dylan Wenzel-Halls, beraksi musim kedua untuk Penang FC sangat mengujakan.

“Saya lihat persiapan kali ini lebih rapi dengan kehadiran pemain-pemain baharu dan muka-muka lama yang dikekalkan.

“Aksi pra musim baru-baru ini juga mencabar, tambahn pula untuk merebut peluang kesebelasan utama dan keserasian pemain secara keseluruhan,” jelas pemain kelahiran Australia itu.

e170295f 5953 4e4d b483 82ff8ff8b05a

Seorang lagi pemain pertahanan dari Argentina, Stefano Brundo turut optimis peluang Penang FC beraksi lebih baik berbanding tahun lalu.

Tiga musim dalam kancah Liga Malaysia, Stefano Brundo dilihat tidak kekok dengan corak permainan di sini.

Beliau melihat aksi pra musim baru-baru ini merupakan satu peluang terbaik kepada semua pemain memperagakan aksi terbaik agar menjadi pilihan jurulatih.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS