Penang International Science Fair kembali!

PENANG International Science Fair (PISF) kembali lagi!! Jangan ketinggalan untuk menyertai acara tahunan anjuran Penang Science Cluster (PSC) pada 11-12 November 2017 bertempat di Penang SPICE arena. Penyertaan adalah percuma!

Penang International Science Fair 2017 menjanjikan acara yang lebih menarik dan membawa kelainan berbanding tahun sebelumnya sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2011. PISF edisi ke-6 ini menyajikan beraneka aktiviti “hands on” kepada pengunjung seawal umur 5 tahun, puluhan pameran industri, bengkel-bengkel STEM dan pelbagai pertandingan yang menarik. Pengunjung juga boleh
melihat demonstrasi “gadget” dan aktiviti berkaitan dengan STEM, selaras dengan tema PISF tahun ini: Preparing the Jobs of the Future.

Pada tahun ini, pengunjung akan dihiburkan dengan kepelbagaian bengkel dan aktiviti yang merangkumi bidang biologi, fizik, kimia, kejuruteraan, elektronik, pengekodan, seni ukir kayu dan lain-lain. Acara in memberi peluang kepada pengunjung untuk mengalami dan memahami operasi objek yang ditemui dalam kehidupan seharian dan membuka mata serta minda pengunjung akan teori sains disebalik hukum alam.

Selain itu, peserta juga boleh mempamerkan kemahiran masing-masing dengan menyertai 7 jenis pertandingan yang dipertandingkan di PISF. Lego Robotics, Scratch dan Robot Sumo akan kembali semula tahun ini bersama-sama dengan 4 pertandingan baru yang akan diperkenalkan buat pertama kali iaitu Rero coding, Python, “Mobile Apps”, dan Young Makers@MakerFest.

Pertandingan Lego Robotic menampilkan konsep penghantaran makanan dimana peserta perlu membina sebuah robot yang mampu membawa dan menghantar “makanan” ke “rumah” pelanggan secara automatik dalam masa 2 minit. Sementara itu, pertandingan Robot Sumo memerlukan peserta menghasilkan avatar robotik mereka sendiri dan bertarung dalam gelanggang sepertimana sukan asal Jepun tersebut. Pertandingan Rero coding dan Python akan menguji kebolehan peserta untuk menyelesaikan masalah tertentu menggunakan kemahiran pengaturcaraan secara kreatif, manakala untuk “Mobile Apps”, peserta berpeluang untuk membangunkan aplikasi mudah alih pilihan sendiri dan menjual idea serta produk mereka kepada barisan panel.

Tidak dilupakan juga pertandingan Young Makers@MakerFest, dimana peserta akan “mempromosikan” hasil karya mereka sendiri kepada pengunjung PISF. MakerFest ialah himpunan para “makers” bersama produk-produk mereka yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran, mempromosikan budaya “makers” dalam komuniti serta mempamerkan bakat individu dalam penghasilan karya. Selain itu, PISF juga menganjurkan bengkel pematerian kepada pengunjung yang berminat untuk mempelajari dan menghasilkan “fidget spinner” sendiri!

Acara ini adalah percuma dan terbuka untuk semua peringkat umur. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.pscpen.com. Rebutlah peluang ini untuk mendalami dunia sains dan teknologi bersama kami di PISF 2017!