Penang Port tawar pelancongan mengasyikkan melalui Penang Bridge Sunset Cruise

 dsf2408

PENANG Port Sdn. Bhd. (PPSB) menawarkan pengalaman percutian yang mengasyikkan melalui produk terbaru, Penang Bridge Sunset Cruise bagi meningkatkan lagi daya tarikan sektor pelancongan negeri ini.

Menerusi Penang Bridge Sunset Cruise, penumpang dapat menikmati keindahan negeri Pulau Pinang di samping berpeluang menyaksikan panorama matahari terbenam yang sangat mempesonakan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Dato’ Sasedharan Vasudevan ketika ditemu bual Buletin Mutiara menggambarkan pelancaran Penang Bridge Sunset Cruise sebagai satu lagi kejayaan bagi industri pelancongan Pulau Pinang.

bel 4067
Dato’ Sasedharan Vasudevan ketika ditemui Buletin Mutiara sempena wawancara khas baru-baru ini.

“Ini merupakan cara baharu untuk mempamerkan keindahan mercu tanda Pulau Pinang yang dilihat mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa selain membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Maksimumkan perkhidmatan feri

Dato’ Sasedharan berkata, idea untuk memaksimumkan perkhidmatan feri milik PPSB adalah diilhamkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke semasa majlis pembukaan operasi feri baharu pada Ogos lalu.

“PPSB membeli empat buah feri, selepas empat bulan beroperasi, pasukan profesional mengkaji perjalanan harian dan mendapati hanya tiga buah feri sahaja yang diperlukan untuk tujuan tersebut.

“Oleh itu, selepas dua bulan membuat perancangan yang sangat rapi, kami memutuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan pengusaha restoran SeaQueen untuk melancarkan pakej Sunset Cruise.

“Melalui kerjasama ini, PPSB akan menyediakan feri manakala syarikat yang bekerjasama dengan kami akan menyediakan pakej merangkumi aktiviti promosi, jualan tiket, bufet dan aktiviti lain yang bersesuaian.

img 5085
Antara pemandangan yang indah dapat disasikan menerusi Sunset Cruise.

 dsf2429  dsf2424  dsf2431

“Ini bermakna kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mempromosikan produk pelancongan baharu ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa memandangkan operasi Sunset Cruise masih lagi baru, perkhidmatan pelancongan tersebut pada masa ini hanya tersedia pada hari Sabtu dan Ahad dari jam 5 petang hingga 8 malam.

Katanya, pelancong akan bertolak dari terminal Pangkalan Raja Tun Uda, George Town ke Jambatan Pulau Pinang.

“Harga tiket yang ditawarkan adalah berharga RM148 bagi orang dewasa manakala RM98 untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

“Pengalaman yang ditawarkan kepada pelancong adalah mereka dapat melihat pemandangan matahari terbenam sambil menikmati makanan bufet di atas feri.

“Pada masa akan datang, kami berhasrat untuk panjangkan perjalanan ke Gurney Drive apabila projek Gurney Bay siap kelak,” katanya sambil menambah bahawa feri tersebut boleh membawa lebih daripada 100 orang bagi setiap perjalanan.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Dato’ Sasedharan menyatakan bahawa PPSB kini sedang mengkaji penggunaan ‘rooftop’ bagi membolehkan pelancong menjalankan aktiviti.

“Perkara ini belum muktamad kerana kami perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Wilayah Utara yang bertanggungjawab mengawal pergerakan bot di perairan wilayah utara,” ujarnya.

Perkhidmatan carter feri

Sementara itu, Ketua Divisyen Komersial dan Stakeholders Management, Nazri Ismail berkata, selain sunset cruise, PPSB turut menawarkan perkhidmatan carter yang membolehkan mana-mana syarikat yang berminat menyewa feri untuk pelbagai aktiviti termasuk perayaan, keagamaan, pelancaran produk dan sebagainya.

Katanya, selepas pelancaran Sunset Cruise pada 16 Disember lalu, PPSB menerima banyak pertanyaan khususnya daripada syarikat swasta mengenai perkhidmatan tersebut.

“Selepas melancarkan perkhidmatan ini minggu lalu, kami telah mendapat tempahan daripada syarikat perkhidmatan kereta api mewah dari Woodland, Singapura ke Thailand yang mana pelancong akan singgah di Pulau Pinang untuk menyewa feri secara eksklusif.

“Mereka akan menyewa feri secara khas untuk melakukan perjalanan dari Butterworth ke George Town dan kembali semula ke Butterworth.

bel 4039
Nazri Ismail.

“Perkhidmatan ini boleh dikatakan sebagai pelancongan bernilai tinggi untuk negeri Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, ekoran sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan, PPSBmenyasarkan sekurang-kurangnya 80 hingga 100 perjalanan setahun.

“PPSB turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk menyewa feri bagi membuat sebarang aktiviti termasuklah sambutan perayaan,” katanya.

Tiket boleh dibeli melalui SeaQueen atau hubungi talian 019-402 0299/013-306 0299. Maklumat lanjut sila layari laman Facebook SeaQueen Stephanie Yacht Club.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH & DARWINA MOHD. DAUD