Pusat digesa berterus-terang status TP1M untuk P. Pinang

GEORGE TOWN – Kerajaan Pusat dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa memberi maklum balas segera berhubung status permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) seperti yang dikemukakan sebelum ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Pusat dan KPKT tidak perlu berdolak-dalik sebaliknya berterus-terang sama ada boleh menyalurkan peruntukan TP1M ke Pulau Pinang ataupun sebaliknya.

“Penting untuk kita (Kerajaan Negeri) tahu. Setakat ini, daripada 144 permohonan yang telah dibuat, hanya 27 sahaja diluluskan dan baki 117 masih tertunggak.

“Ia mustahak memandangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai tabung Program Bantuan Perumahan Rakyat Pulau Pinang (HAPPY!) yang akan menampung baki bayaran 10 peratus dan 30 peratus yang masing-masing perlu dibayar penduduk bagi penghuni rumah kos rendah (LC) dan kos sederhana rendah (LMC),” ujarnya pada penganjuran Majlis Sumbangan Pakaian Seragam Sekolah bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat di sini baru-baru ini.

Sebagai rekod, melalui peruntukan di bawah TP1M, Kerajaan Pusat akan membiayai 90 peratus kos penyelenggaraan bagi projek perumahan LC dan projek perumahan LMC (70 peratus).

Justeru, Jagdeep yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu, sekiranya semua permohonan tersebut tidak dapat diluluskan Pusat, maka pihaknya akan mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbang memindah dana HAPPY! sejumlah RM3 juta yang diperuntukkan di bawah Bajet 2016 ke dalam Tabung Penyelenggaraan Negeri.

“Tidak ada guna dana ini disimpan sekiranya beberapa permohonan di bawah TP1M dari Pulau Pinang masih tertunggak kelulusannya oleh Kerajaan Pusat.

“Lebih baik dana ini dipindahkan ke Tabung Penyelenggaraan Negeri (yang kini berjumlah RM2.8 juta) dengan keseluruhan dana menjadi RM5.8 juta dan wang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penghuni LC dan LMC di Pulau Pinang,” jelas beliau.

Terdahulu, Jagdeep mendakwa bahawa beliau juga tidak dimaklumkan berhubung mesyuarat TP1M yang berlangsung di antara Timbalan Menteri KPKT, Datuk Halimah Mohamed Sadique bersama-sama barisan Exco Perumahan Kerajaan Negeri seluruh Malaysia baru-baru ini.

“Mesyuarat tersebut sepatutnya berlangsung pada 22 Oktober 2015, tapi telah dibatalkan.

“Saya langsung tidak dimaklumkan mengenai hal ini, walaupun pada asalnya beliau (Halimah) telah menghantar surat (20 Oktober 2015) yang berhasrat untuk berjumpa dengan semua Exco untuk membincang bagaimana menguruskan TP1M dengan lebih baik.

“Sehinggalah saya ternampak tweet beliau (Halimah) (2 Disember 2015).

“Walau bagaimanapun, saya akan menulis surat susulan minta penjelasan sama ada mesyuarat tersebut telah dilangsungkan atau belum dan memohon agar satu perjumpaan dengan Exco Pulau Pinang dapat diaturkan. Kita masih mahu bekerjasama untuk mengetahui status TP1M yang sebenar,” ujar Jagdeep.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);