Penang Smart Parking boleh diakses semula mulai esok

GEORGE TOWN – Aplikasi Penang Smart Parking (PSP) yang mengalami gangguan teknikal sejak 1 September lalu akan dapat diakses semula mulai esok iaitu 5 September 2020.

Naib Presiden Eksekutif HeiTech Padu Berhad, Abdul Halim Md. Lassim berkata, pada 29 Ogos lalu pihaknya telah menaik taraf sistem PSP untuk meningkatkan versi daripada 1.7.7 kepada 2.0.1 yang mempunyai lebih banyak ciri penambahbaikan.

Walau bagaimanapun, kata Abdul Halim, pihaknya berdepan masalah teknikal yang mana pada 1 September lalu sistem PSP berada dalam situasi ‘downtime’ menyebabkan 400,000 pengguna tidak dapat mengakses aplikasi tersebut.

Ar. Yew Tung Seang.

“Dalam jangka masa tersebut, kami telah menganalisis masalah yang berlaku dan seterusnya membuat penambahbaikan daripada segi kapasiti serta aplikasi sistem masih lagi berjalan ketika ini.

“Kami juga sedang melakukan ujian tekanan kepada sistem tersebut dan kami memberi komitmen bahawa sistem PSP dapat diakses semula oleh semua pengguna pada esok pagi (5 September 2020).

“Justeru, saya bagi pihak HeiTech (Padu Berhad) memohon maaf kepada 400,000 pengguna PSP dan rakyat Pulau Pinang amnya atas kesulitan yang berlaku.

“Kami memberi komitmen akan membuat pembaikan pada sistem tersebut dengan mendapatkan kerjasama pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terlebih dahulu,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin.

Dalam pada itu, Jagdeep menegaskan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius masalah yang berlaku kerana telah memberi impak kepada ratusan ribu penduduk di negeri ini.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menjalankan pemantauan berterusan agar sistem PSP dapat beroperasi semula mulai esok sepertimana yang dijanjikan oleh pihak pengendali,” jelasnya.

Sr. Rozali Mohamud.

Menjawab soalan pemberita, Jagdeep memberitahu bahawa sistem PSP yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri mendapat sokongan daripada majoriti penduduk di negeri ini.

“Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif ini adalah untuk menyampaikan perkhidmatan yang efisien kepada penduduk negeri ini tetapi sekiranya pihak operator gagal menjalankan tanggungjawab mereka, kita akan ambil tindakan segera.

“Isunya, masalah yang berlaku ketika ini adalah disebabkan pihak pengendali cuba menaik taraf sistem ke arah lebih baik tetapi dalam proses ini mereka menghadapi beberapa masalah,” jelasnya lagi.

Pada sidang media yang sama, Tung Seang menegaskan bahawa kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pihak pengendali sistem PSP di atas insiden yang berlaku.

“Pihak MBPP sedang memerhatikan perkembangan ini dan tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya masalah ini masih berulang pada masa akan datang,” tegasnya sambil menzahirkan rasa kecewa terhadap masalah tersebut.

Sementara itu, Rozali berharap agar pihak operator dapat mengadakan perbincangan bersama-sama MBPP dan MBSP terlebih dahulu sebelum melakukan apa jua kerja menaik taraf pada sistem PSP agar tidak menimbulkan masalah kepada pengguna.

“Oleh itu, kita harap selepas ini sekiranya ada sesuatu yang hendak dilakukan kepada sistem ini, pihak pengendali perlu berbincang dengan pihak Majlis terlebih dahulu supaya kita dapat menyediakan pelan kontingensi,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG