Penang Smart Parking kini dilengkapi fungsi navigasi ‘Cari Parkir’

Admin
GAMBAR sebelum acara demontrasi versi baharu aplikasi sistem parkir pintar yang dilengkapi fungsi navigasi ‘Cari Parkir’ berhampiran Padang Kota Lama pada pagi ini.

GEORGE TOWN – Penang Smart Parking (PSP) yang mula dipasang secara berperingkat di kedua-dua bahagian pulau dan Seberang Perai sejak 16 bulan lepas, kini dinaik taraf lagi dengan ciri-ciri baharu seperti fungsi navigasi ‘Cari Parkir’ yang pintar dan mesra pengguna.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semasa merasmikan Majlis Pelancaran Aplikasi PSP Versi 2.0.3 tersebut pada pagi ini antara lain berharap lebih banyak lagi peneraju teknologi pintar memilih negeri Pulau Pinang sebagai tapak projek perintis berkaitan, sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada firma pengendali PSP, Heitech Padu Berhad kerana menjadi rakan kongsi strategik negeri dalam mempercepatkan proses pendigitalan ekonomi selaras Visi Penang2030.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada PSP kerana telah menang beberapa penganugerahan negeri serta negara dan mungkin di peringkat Asia juga.

“Jadi (pencapaian dalam bentuk penganugerahan) itu bukan alasan untuk kita berasa begitu selesa, sebaliknya patut menggalakkan kita (Pulau Pinang) untuk membuat penambahbaikan pada sistem (PSP Versi 2.0.3) ini.

“Kita (Pulau Pinang) percaya bahawa teknologi akan memandu kita mencapai impian yang telahpun ditetapkan dalam Visi Penang2030 yang memberikan fokus pada keluarga, menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau serta pintar dan memberi inspirasi kepada negara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong di Dewan Bandaraya MBPP dekat sini pada 3 April 2021.

Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN Datuk Keramat serta Naib Presiden Eksekutif Heitech Padu Berhad, Abdul Halim Md. Lassim turut berucap pada majlis ringkas tersebut.

Turut serta, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta beberapa Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Dengan penggunaan sistem parkir pintar tersebut sehingga 29 Mac lalu, menurut Kon Yeow, ia telah membawa pulangan hasil kira-kira RM16.4 juta, iaitu RM12.056,693.25 kepada MBPP dan MBSP (RM4,299,853.80).

Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu bahawa sehingga 28 Februari lepas, kesemua 12,000 unit sensor telah siap dipasang di kawasan pentadbiran MBPP manakala 3,000 lain (pentadbiran MBSP dekat Seberang Perai).

“Bagi kawasan MBSP, baki 21,000 unit lagi akan dipasang secara berperingkat sehingga bulan September 2021,” ujarnya.

Selain itu, Jagdeep turut memberitahu bahawa jumlah muat turun aplikasi pintar PSP setakat 29 Mac 2021 adalah sebanyak 579,484 kali, dengan penglibatan pengguna aktif seramai 232,473 pihak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN