Penang Souq Ramadan kembali lagi, bermula 23 Mac

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) dengan diiringi Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kiri) dan Abdul Halim Hussain (kanan) semasa semasa acara gimik pelancaran Penang Souq Ramadan di perkarangan Komtar Walk di sini pada 13 Mac 2023.

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘Penang Souq Ramadan’ di Komtar Walk dekat sini pada 13 Mac 2023.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad antara kenamaan yang turut sertai majlis perasmian tersebut.

Mula dianjurkan pada tahun 2011, Ahmad Zakiyuddin berkata penganjuran Penang Souq Ramadan 2023 kali ini melambangkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu para usahawan dan peniaga lokal dalam mempromosi produk mereka.

“Penganjuran Penang Souq Ramadan ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri usahawan,” jelasnya yang juga Exco Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Berucap sebelum itu, Abdul Halim memaklumkan bahawa acara ‘souq’ atau bazar Ramadan akan dibuka sepanjang bulan Ramadan bermula 23 Mac hingga 21 April depan dengan tujuan untuk mempergiatkan aktiviti perdagangan dan perniagaan di Pulau Pinang sepanjang ’bulan puasa’ di samping membuka peluang kepada para usahawan dan komuniti peniaga bagi memperkenalkan produk masing-masing.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri akan saling bekerjasama dengan kementerian serta agensi-agensi berkaitan demi memastikan harga jualan dalam program Penang Souq Ramadan pada kali ini adalah bersesuaian dengan kemampuan rakyat terutama dalam kelompok isi rumah berpendatan 40 peratus paling rendah (B40).

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk membantu para peniaga bagi memperoleh bahan mentah dengan harga yang lebih murah bagi memudahkan pelaksanaan Menu Rahmah dengan penganjuran program seperti Karnival Jualan Terus Dari Ladang serta Aktiviti Jualan Rakyat,” jelasnya yang juga ADUN Batu Maung.

Selain itu, beliau berkata menerusi portal www.sapotlokal.com.my orang ramai boleh mendapatkan informasi lanjut berkaitan senarai hotel, kompleks membeli-belah, kedai-kedai perabot, kedai aksesori rumah serta peniaga-peniaga yang menyertai Penang Souq Ramadan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI