Penang Technology Park @ Bertam tangkis persepsi kononnya pembangunan hanya di bahagian pulau – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tengah) dan empat individu lain menyempurnakan acara gimik Majlis Pecah Tanah Projek Penang Technology Park @ Bertam di sini pada 17 Mac 2023.

BERTAM – Dalam tempoh dua tahun dari sekarang, firma hartanah swasta, Ideal Property Group akan membangunkan tanah berstatus pegangan bebas seluas 880 ekar yang dikenali sebagai Penang Technology Park @ Bertam di sini.

Lokasi industri baharu negeri tersebut akan menawarkan kawasan pajakan untuk pembinaan industri berteknologi tinggi yang sesuai dengan harga jualan tanah antara RM62 hingga RM90 setiap kaki persegi.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap Penang Technology Park @ Bertam akan menarik lebih banyak lagi pelabur domestik dan pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri ini kelak.

“Dengan adanya projek sedemikian (iaitu Penang Technology Park @ Bertam), kita dapat menangkis (tanggapan tanpa asas) bahawa Kerajaan Negeri cuma memberi tumpuan pembangunan di bahagian pulau.

“Sebenarnya, ini merupakan suatu persepsi yang tidak berasas (kerana) kalau lihat kawasan-kawasan industri di negeri Pulau Pinang…sememangnya di bahagian Seberang Perai (kini lebih banyak kawasan pembangunan perindustrian),” jelasnya lagi semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penang Technology Park @ Bertam di sini pada 17 Mac 2023.

Menyorot sejarah, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa Pulau Pinang suatu masa dahulu pernah memaju pertumbuhan ekonomi secara tradisional dengan bergantung kepada pelabuhan pasaran bebas pada era 1960-an.

Namun sejak tahun 1972, beliau menyatakan bahawa corak pertumbuhan ekonomi negeri Pulau Pinang telah berubah wajah dan kini dikenali sebagai ‘Lembah Silikon Timur’.

“Berdasarkan lokasi strategik Pulau Pinang, 50 tahun kecemerlangan industri, ketersediaan tenaga kerja mahir dan persekitaran mesra perniagaan, Pulau Pinang kini menjadi destinasi yang lebih popular bagi pelabur yang mencari peluang pertumbuhan di rantau ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Disifatkan sebagai kuasa ekonomi negara, Buletin Mutiara difahamkan bahawa Pulau Pinang pada tahun 2021 mendahului negeri-negeri lain dengan rekod nilai eksport bernilai RM354 bilion.

Momentum perdagangan luar negeri di Pulau Pinang pula melonjak naik 27 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya, dengan nilai eksport pasa waktu itu berada pada paras tertinggi sebanyak RM452 bilion serta mewakili 29 peratus daripada keseluruhan jumlah nilai eksport negara.

Daripada segi pelaburan, Kon Yeow menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan antara penyumbang utama negara, setelah mencatatkan RM14 bilion dalam pelaburan pembuatannya yang diluluskan pada 2022 serta mewakili 16 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan pembuatan negara.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti merangkap ADUN Pinang Tunggal dan Pengerusi Eksekutif Ideal Property Group, Tan Sri Datuk Alex Ooi.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengarah Eksekutif Ideal Property Group, Puan Sri Datuk Joanne Phor; Penasihat Khas Pelaburan Ketua Menteri, Dato’ Sri Lee Kah Choon; Konsulat Besar Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Zhou Youbin dan Naib Konsulat Besar Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Lou Ling Ling turut sertai majlis tersebut.

ALEX Ooi

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Alex Ooi memberitahu bahawa pelabur asing yang dijemput membuka industri berteknologi tinggi di Penang Technology Park @ Bertam bukan hanya dari Republik Rakyat China sahaja, malah dari Amerika Syarikat Eropah, Taiwan.

“Kawasan perindustrian ini dibuka kepada semua pelabur khususnya pelabur dalam industri berteknologi tinggi,” ulasnya sambil memberitahu bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi projek Penang Technology Park @ Bertam dianggarkan bernilai RM4.2 bilion.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS