BATU MAUNG – Kedudukan Pulau Pinang sebagai antara pemacu utama ekonomi negara terus diperkukuhkan apabila negeri ini kekal menjadi destinasi pilihan pelaburan berimpak tinggi, sekali gus merangsang pembangunan perumahan, infrastruktur dan komuniti yang lebih mampan.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, sektor pembuatan terus menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), teknologi perubatan, pembuatan termaju serta industri digital.
Menurut beliau, data rasmi menunjukkan Pulau Pinang menyumbang purata RM10.7 bilion hasil cukai Persekutuan setahun bagi tempoh 2023 hingga 2025, sekali gus membuktikan peranan besar negeri ini dalam menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Prestasi ekonomi yang kukuh terus menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan daya saing Pulau Pinang.

“Apabila ekonomi berkembang, keperluan terhadap pembangunan perumahan, infrastruktur dan komuniti yang dirancang dengan baik juga semakin meningkat,” ujarnya ketika berucap merasmikan Pembukaan Galeri Jualan Projek Perumahan M Amaya dan Perojek Naik Taraf Bulatan Batu Maunghasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mah Sing Group di sini petang tadi.
Hadir sama, Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Dato’ Rosli Halim; Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group, Dato’ Voon Tin Yow dan dif-dif jemputan lain.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, Batu Maung kini muncul sebagai antara koridor pertumbuhan baharu di Pulau Pinang berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.
Tambahnya, projek-projek strategik seperti Pulau Silikon Pulau Pinang dan rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) pada masa hadapan dijangka terus meningkatkan potensi kawasan tersebut sebagai hab ekonomi dan kediaman.
“Justeru, pembangunan seperti M Amaya juga mampu memenuhi keperluan golongan profesional, keluarga muda dan pembeli rumah pertama yang mahukan kediaman berkualiti di lokasi yang strategik.
“Pembangunan bandar yang mampan bukan hanya diukur melalui pembinaan bangunan, tetapi bagaimana kita mewujudkan komuniti yang selesa didiami, saling berhubung dan mempunyai identiti tersendiri selaras dengan aspirasi Penang2030,” ulasnya lagi.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata agenda ‘Batu Maung Mantap’ akan terus dipacu sambil menekankan nilai muhibah, pembangunan belia, kebajikan nelayan, kesejahteraan kawasan perumahan, kecemerlangan akademik dan pembangunan progresif.
“Penaiktarafan Bulatan Batu Maung juga dilihat sebagai satu usaha yang berjaya memperkukuh imej pintu masuk kawasan berkenaan.
“Inisiatif CSR Mah Sing berjaya merealisasikan hasrat tersebut dengan mewujudkan ruang awam yang lebih menarik, di samping mengetengahkan identiti tempatan.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi, malah memberi manfaat kepada rakyat melalui penyediaan infrastruktur yang berkualiti, ruang awam yang kondusif dan komuniti yang lebih sejahtera,” katanya.