Penang Technology Park tampung keperluan tanah industri, dizonkan sejak 2004

Admin

GEORGE TOWN – Kawasan perindustrian berteraskan teknologi tinggi baharu, Penang Technology Park yang bakal dibangunkan oleh pihak swasta dekat Bertam, Kepala Batas adalah bagi menampung keperluan tanah industri di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tanah yang pernah dimiliki oleh Kumpulan Naza itu telah dizonkan sebagai tanah perindustrian sejak awal tahun 2004.

“Walaupun telah dizonkan sebagai tanah industri tetapi kawasan ini tidak dibangunkan sehingga sebuah syarikat pemaju tempatan mengambil alih tanah berkenaan dan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Penang Technology Park.

“Cadangan itu diluluskan bagi menampung keperluan tanah industri ekoran peningkatan minat pelabur asing serta tempatan untuk membangunkan sektor pembuatan dan perkhidmatan di negeri ini.

“Oleh itu, projek pembangunan ini dilihat mampu menarik pelaburan oleh industri-industri berteknologi tinggi sebagaimana yang berlaku di Batu Kawan,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin.

Menurut Kon Yeow, pembangunan taman industri baharu itu juga dilihat dapat mengimbangi kemajuan industri di kawasan Seberang Perai dan pulau serta menjadikan kawasan Seberang Perai Utara (SPU) sebagai satu kawasan industri berteraskan teknologi tinggi.

Kata beliau, fasa 1 projek berkenaan adalah melibatkan keluasan lebih 200 ekar untuk menempatkan industri-industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, peranti perubatan, aeroangkasa dan lain-lain.

Bagi fasa 2 pula, Kon Yeow menyatakan bahawa kawasan tersebut akan menempatkan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan komponen penting dalam ekosistem industri.

“Saya difahamkan syarikat ini sudah mendapat komitmen daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Kewangan berhubung dengan pakej insentif yang ditawarkan kepada pelabur-pelabur asing khususnya.

“Bagi pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan InvestPenang pula, kita akan bekerjasama dan memberi segala khidmat nasihat kepada pemaju sekiranya perlu.

“Memandangkan ia satu inisiatif swasta maka mereka bertanggungjawab menawarkan tanah atau lain-lain kerjasama bagi menarik pelabur-pelabur untuk menubuhkan kilang berteknologi tinggi di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa kerja-kerja penyediaan tapak dan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan, sistem perparitan, bekalan air serta elektrik telahpun bermula dan dijangka siap akhir tahun ini.

“Bagi pihak Majlis Bandaraya (Seberang Perai), kita akan memudahcarakan kelulusan kepada kilang-kilang yang bakal melabur di Penang Technology Park di Bertam kelak,” ulasnya lanjut.

Mengulas mengenai cadangan pembinaan asrama pekerja, Pembangunan Kuarters (Penginapan) Pekerja (CLQ) di kawasan berkenaan, Kon Yeow memaklumkan bahawa ia antara keperluan yang perlu disediakan kepada pekerja sama ada pekerja asing atau tempatan di kawasan industri.

“Perkara ini merupakan dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia yang perlu dipatuhi yang mana majikan perlu menyediakan tempat tinggal untuk pekerja mereka.

“Ia juga bertujuan mengelakkan berlaku masalah kacau ganggu jika pekerja asing ditempatkan di kawasan perumahan penduduk mesti masyarakat setempat tidak gemar melihat sebuah rumah dihuni oleh berpuluh warga asing.

“Oleh itu, kerajaan juga memutuskan bahawa lebih baik sekiranya pekerja asing ini ditempatkan dalam asrama di taman-taman industri sendiri,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD