PENANG World Cleanup Day 2026 yang bakal berlangsung pada 26 September ini menyasarkan penyertaan sekitar 3,000 peserta dalam usaha menggalakkan penglibatan masyarakat terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Menurut Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rohaizat Hamid, setakat ini kira-kira 1,600 peserta telah membuat prapendaftaran bagi menyertai program berkenaan.
“Jumlah tersebut dijangka bertambah pada hari kejadian memandangkan imbasan kod QR bagi Hari Cuci Malaysia hanya boleh dibuat pada hari program dan akan dikira sebagai penyertaan yang sah,” ujarnya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Rohaizat turut memaklumkan bahawa program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, persatuan, pengusaha hotel dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Penglibatan daripada komuniti dan NGO amat menggalakkan dengan pelbagai peringkat agensi, persatuan, pengusaha hotel serta NGO turut mengambil bahagian dalam program ini.
“Antara aktiviti utama yang akan dijalankan termasuk kutipan sampah, pengasingan sisa serta kerja-kerja pembersihan di kawasan sekitar,” jelasnya lanjut.
Dalam perkembangan sama, Rohaizat berkata, penganjuran program tersebut bukan sekadar memberi tumpuan kepada aktiviti pembersihan, malah bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
“Pesanan utama yang ingin disampaikan adalah supaya kita bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran, memelihara kelestarian alam sekitar dan yang lebih penting, memupuk budaya kitar semula,” katanya.
Sehubungan itu, Rohaizat berharap Penang World Cleanup Day 2026 bukan sekadar menghimpunkan ribuan peserta, malah mampu mencetuskan kesedaran berterusan dalam kalangan masyarakat untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Penang World Cleanup Day 2026 akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Tanah Lapang (Tempat Letak Kereta), Persiaran Bayan Indah, bersebelahan Queensbay Mall.
Pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk Trash to Cash, Upcycle, pemeriksaan pergigian percuma, kesihatan persekitaran dan vektor, kesedaran alam sekitar, kempen hapus plastik sekali guna, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta ruang bergambar.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL