Penang2030 perlu terus diterjemah beri manfaat langsung kepada rakyat

Admin
711f98e2 2c05 43bb a73d e31d788190be

TANJONG BUNGAH – Visi Penang2030 perlu terus diterjemah kepada peluang, perkhidmatan dan program yang dapat diakses serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Menurut beliau, selepas lapan tahun pelaksanaan, lapan daripada 10 sasaran utama Visi Penang2030 telah dicapai atau berada pada landasan untuk dicapai, meliputi kebajikan, perumahan, tadbir urus, pelancongan, pendidikan, pertanian, keusahawanan dan belia.

“Yang lebih penting, pencapaian ini perlu diterjemahkan kepada perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat. Sebagai contoh, pendapatan isi rumah Pulau Pinang telah meningkat daripada RM5,409 kepada RM7,386.

“Dalam tempoh pelaksanaannya juga, kira-kira 15,000 rakyat Pulau Pinang telah menerima peningkatan kemahiran dalam bidang digital, termasuk keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI),” jelasnya.

1625f23f e2f9 4b41 a41b df66b591c983
KETUA Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Penang2030 Daerah Timur Laut di Green Park by the Sea, Tanjung Tokong dekat sini pada 26 September 2026.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali serta Pegawai Daerah Timur Laut, Ismasuhaimi Shariff.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa Visi Penang2030 turut menekankan peningkatan pendapatan, pembangunan modal insan, penguasaan kemahiran baharu serta penyediaan peluang kepada rakyat.

“Inilah pendekatan gagasan yang kita mahu, iaitu mengiktiraf apa yang telah dicapai, memperbaiki apa yang masih perlu diperkasa dan terus bergerak ke hadapan berdasarkan perubahan serta keperluan semasa rakyat.

“Justeru, agenda ini perlu terus berkembang mengikut keperluan rakyat dan perubahan semasa supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih meluas,” ujarnya yang merupakan ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

9d4710d6 fcd2 494f 90d9 02e55e3f7dba 2848601b 5da0 4e38 a7c4 2e0c2f2829f4 dfb403d8 e2fa 4db7 bd88 3e2e83f99bde b9f3619e f7ee 45a8 af55 3451b4dd3e53
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow menyatakan bahawa penganjuran Festival Penang2030 Daerah Timur Laut bertemakan ‘Penang2030: Aspirasi Rakyat, Menerajui Transformasi’ menjadi antara platform untuk membawa agenda tersebut lebih dekat kepada masyarakat.

Tambah beliau, penglibatan pelbagai jabatan, agensi kerajaan, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta rakan strategik memberi peluang kepada masyarakat meneroka pelbagai bidang termasuk teknologi digital, tenaga solar, pendidikan, keusahawanan dan perkhidmatan kerajaan.

“Hal ini penting kerana dunia pekerjaan dan ekonomi sedang berubah dengan pantas.

“Kemahiran dalam bidang digital, teknologi dan TVET semakin penting untuk memastikan anak-anak Pulau Pinang bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan, malah mampu merebut peluang yang terhasil daripada perubahan tersebut.

“Para usahawan pula diberi ruang untuk mempromosi produk, membina rangkaian dan memperluaskan pasaran, manakala pencari kerja berpeluang bertemu dengan majikan serta mengenal pasti peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan minat masing-masing,” jelasnya lanjut.

ea8e6484 4ca1 471f a654 068d82d51bcd 0989a7c9 1112 424a 90db bbe18e3b8c90 095f7c81 9ab2 425e aab9 98c2843d1f16 06bfb916 58d6 4d4c 9d73 ed950c6796a0
Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengucapkan tahniah atas penganjuran Andaman Vibes Fun Run 2026 yang menghimpunkan hampir 3,500 peserta pada awal pagi tadi.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh semangat komuniti, menggalakkan interaksi dalam kalangan masyarakat serta mengetengahkan potensi dan tarikan yang terdapat di Daerah Timur Laut.

8afef746 1f75 490e 9113 41428bcd13e6
ISMASUHAIMI.

Sementara itu, Ismasuhaimi memberitahu bahawa penganjuran festival berkenaan turut menampilkan pameran, demonstrasi kemahiran serta sesi perkongsian teknikal secara langsung dan hands-on bagi memberi pendedahan lebih meluas kepada golongan muda serta ibu bapa mengenai bidang TVET.

“Melalui pameran dan demonstrasi kemahiran ini, kita mahu mendedahkan anak-anak muda dan bakal usahawan bahawa kemahiran vokasional merupakan salah satu laluan kepada kerjaya berpendapatan tinggi serta bidang keusahawanan.

“Justeru, secara tidak langsung, penganjuran festival berkenaan turut menghubungkan dasar pembangunan negeri dengan rakyat di peringkat akar umbi menerusi pelbagai pengisian interaktif, pendidikan dan mesra keluarga,” ulasnya.

Difahamkan, festival berkenaan turut menampilkan agensi yang menyediakan bantuan dan inisiatif kepada usahawan, antaranya Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Pusat GIATMARA, selain menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan Visi Penang2030 menerusi pengisian interaktif, pendidikan dan mesra keluarga.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI