Pencapaian cemerlang MBPP menerusi Kempen Kesihatan Persekitaran 2023

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berjaya menempa nama menerima pengiktirafan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Cemerlang menerusi Kempen Kesihatan Persekitaran 2023 – Cegah Denggi bersempena Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tahun 2023.

Bertemakan “Persekitaran Lestari, Negara Madani”, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPP giat melaksanakan kempen kesedaran kepada masyarakat melalui ceramah, hebahan risalah, penyiaran peringatan di papan tanda LED, jerayawara bergerak dan paparan media sosial.

Di samping itu, antara aktiviti kempen yang dijalankan termasuk aktiviti pembasmian ‘hotspot’ pembiakan nyamuk aedes menerusi semburan ‘fogging’ berkala serta kerja-kerja pembersihan kawasan yang telah dikenal pasti.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Kesihatan Persekitaran MBPP, Dr. Chin Wee Loon bersama-sama pasukan menerima pengiktirafan tersebut yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Selasa lalu.

Hadir menyempurnakan majlis penganugerahan dan pengiktirafan berkaitan ialah Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Dalam pada itu, menerusi sesi wawancara berasingan, Datuk Bandar MBPP, Dato’ A. Rajendran menzahirkan ucapan tahniah kepada Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPP atas pencapaian yang luar biasa ini.

“Pengiktirafan yang bermakna ini telah menonjolkan bukti komitmen Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPP melalui pelbagai kempen bagi membendung kes denggi di negeri ini.

“Saya berharap Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPP akan meneruskan usaha baik mereka untuk meningkatkan kesedaran rakyat serta dapat dilakukan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan seluruh warga negeri.,” ujarnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MBPP