Pencapaian luar biasa atlet paralimpik remaja di Bahrain, terima ganjaran SKIMAS

Admin

GEORGE TOWN – Pencapaian dua atlet paralimpik remaja kelahiran Pulau Pinang pada Kejohanan Paralimpik Remaja Asia 2021 di Bahrain baru-baru ini melayakkan mereka menerima insentif kewangan melalui Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS).

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, meskipun SKIMAS tidak memperuntukkan insentif kewangan bagi temasya sukan kategori remaja, namun berlandaskan pencapaian luar biasa dan cemerlang kedua-dua atlet paralimpik itu wajar dihargai.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbesar hati meluluskan pemberian insentif kewangan kepada dua atlet paralimpik yang telah mengharumkan nama negara dan negeri Pulau Pinang.

 

“Tahniah dan bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya berharap kedua-dua atlet ini dapat meneruskan usaha mereka untuk mencipta kemenangan pada acara atau kejohanan akan datang,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Komtar pada 23 Februari 2022.

 

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Jawatankuasa MMK Belia dan Sukan, A. Kumaresan (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Batu Uban) dan Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam); Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Haryy Chai Heng Hua; Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Negeri Pulau Pinang, Ilias Yahaya serta Setiausaha Kehormat PESRON Negeri, Rashidah Mat Saad.

 

KETUA Menteri bertanyakan sesuatu kepada Ilias Yahaya (tiga dari kiri) sejurus majlis ringkat penyampaian insentif kewangan di sini. Turut kelihatan, Joseph Ng Soon Siang (kiri sekali), Soon Lip Chee (dua dari kiri), Muhammad Amin Azmi (tiga dari kanan) dan Zy Lee Kher (dua dari kanan).

Pada majlis tersebut, Zy Lee Kher, 15, yang merupakan atlet renang paralimpik menerima insentif kewangan berjumlah RM4,200 setelah berjaya menyumbang satu pingat emas, perak (1) dan gangsa (1) masing-masing menerusi acara renang 200 meter gaya bebas (kategori S1-5) lelaki dengan catatan masa 3:03.91; 50 meter kuak kupu-kupu (S2-7) lelaki (59.09) dan 200 meter rampaian individu (SM5-10) (3:58.69).

 

Manakala, Muhammad Amin Azmi, 18, yang berjaya merangkul pingat perak pada kejohanan sama menerusi acara badminton menerima insentif kewangan berjumlah RM1,200.

 

Ketika ditemui, Lee Kher memberitahu bahawa insentif kewangan yang diterima menjadi suatu dorongan besar untuk beliau terus mencapai kejayaan pada masa hadapan.

 

Saya sangat berbangga apabila dapat memenangi semua pingat-pingat ini semasa kejohanan baru-baru ini.

 

“(Dan) faktor utama untuk berjaya adalah minda kita…saya optimis saya mampu melakukannya,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Malah, beliau turut berterima kasih kepada kedua-dua ibu dan bapanya yang merupakan pendorong utama untuk beliau terus menceburi bidang sukan yang digemari.

 

Bukan mudah, apatah lagi hendak membahagikan masa antara akademik dan sesi latihan mingguan. Sekiranya ada latihan berenang di sekolah, saya pasti tidak akan ketinggalan mengikutinya setiap hari.

 

“Saya berharap untuk terus maju dalam bidang sukan renang ini dan mungkin akan menerokai bidang sukan lain pada masa hadapan,” katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Chung Ling Persendirian, Air Itam.

 

Bagi Muhammad Amin pula, sesi latihan dua kali seminggu amat berbaloi apabila beliau berjaya membawa pulang pingat perak buat Malaysia.

 

“Saya telah berkecimpung dalam sukan badminton ini sejak umur 12 tahun.

 

(Dan) dengan kemenangan baru-baru ini serta penghargaan daripada Kerajaan Negeri hari ini, saya berasa sangat bersyukur.

 

“Saya rasa lebih bersemangat untuk meneruskan lagi pencapaian cemerlang dalam kejohanan akan datang,” jelasnya yang bakal menyertai kejohanan di Kuala Lumpur pada bulan Mac 2022 nanti.

 

Muhammad Amin hadir ditemani ibu, Aminah Mohd. Hashim yang juga bertindak sebagai pengurus peribadinya termasuk membawanya ke tempat latihan dua kali seminggu.

 

Anak kelahiran Tanah Liat itu merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan potensi diri bagi membuktikan bahawa kekurangan dirinya bukan alasan untuk tidak berjaya dan berdikari.

 

MUHAMMAD Amin Azmi (kiri) dan Zy Lee Kher (kanan) bersama-sama cek cura yang diterima menerusi Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS).

Sementara itu, Ilias ketika ditemui menzahirkan rasa bangga atas pencapaian Lee Kher dan Muhammad Amin.

 

Sebenarnya PESRON melahirkan ramai atlet paralimpik yang cemerlang dan bertaraf dunia.

 

“Misalnya mereka berdua (Lee Kher dan Muhammad Amin) yang mana mereka ini masih muda dan mempunyai semangat juang yang tinggi.

 

“Saya harap insentif kewangan ini akan membakar semangat mereka dan atlet-atlet paralimpik remaja lain untuk menyertai dan menang kejohanan akan datang,” katanya sambil menyatakan harapan agar lebih ramai yang cakna akan pencapaian luar biasa atlet istimewa ini.

 

Kejohanan Paralimpik Remaja Asia 2021 telah berlangsung pada 2 hingga 6 Disember 2021 yang mana seramai 13 atlet remaja ‘luar biasa’ berusia antara 13 hingga 23 tahun telah dihantar untuk mewakili Malaysia. Kontinjen negara berjaya membawa pulang tiga (3) pingat emas, perak (5) dan gangsa (5).

 

Difahamkan, penyertaan atlet ke kejohanan tersebut adalah melalui Majlis Paralimpik Malaysia yang mana atlet remaja negara mengambil bahagian dalam enam daripada sembilan acara sukan yang dipertandingkan. Antaranya olahraga, badminton, boccia, ping pong, renang dan ‘powerlifting’.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD