Pencapaian wanita dalam pelbagai sektor harus diberi pengiktirafan – Exco

Admin

PERMATANG PASIR – Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berharap agar penganjuran pelbagai acara sempena Hari Wanita pada tahun ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebolehan golongan berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memandang serius terhadap Kempen Hari Wanita Sedunia sebagai usaha berterusan dalam mengiktiraf peranan golongan wanita di dalam pelbagai bidang di negara ini.

Jualan hasil kraftangan yang dihasilkan oleh para peserta Eko-Kraf Komuniti dijual menerusi aktiviti Car Boot Sale.

“Sepanjang tempoh sambutan Hari Wanita Sedunia 2019, bengkel kepimpinan wanita dan usahawan, ceramah oleh wanita daripada pelbagai bidang kerjaya, karnival untuk mengetengahkan bakat serta banyak lagi telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK).

“Hal ini kerana pencapaian serta sumbangan wanita dalam semua sektor sama ada sektor awam mahupun swasta, termasuk kumpulan suri rumah juga harus diberikan pengiktirafan.

“Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada pihak-pihak yang bukan sahaja menyumbang sokongan dan tenaga malah kemudahan dalam menjayakan program-program dilaksanakan,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Eko-Kraf, dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampangan, di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng serta komuniti setempat.

Selain penyampaian sijil kepada para peserta, program yang bermula seawal jam 8:00 pagi itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti senaman zumba, Purple Car Boot Sale, The Purple Challenge, peraduan mewarna, demonstrasi membuat bakul kertas dan plastik, tayangan video serta banyak lagi.

Sebahagian penduduk PPR Ampangan yang turut memeriahkan program.

Mengulas lanjut, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang menerangkan bahawa penganjuran program Bengkel Eko-Kraf adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta menjana sumber pendapatan di samping mengasah bakat kesenian masing-masing.

“Penjualan produk kraftangan menggunakan bahan kitar semula melalui Car Boot Sale dapat memberi pendedahan kepada kaum wanita dalam bidang perniagaan selain meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai maksud Hari Wanita Sedunia melalui penganjuran Cabaran Ungu (The Purple Challenge).

“Saya percaya, semua aktiviti yang dijalankan ini mampu membuka peluang dan ruang kepada wanita untuk tampil ke depan dengan lebih yakin serta berani menyahut cabaran,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS