Penciptaan laman web mampu penuhi pasaran pekerjaan

Admin

GEORGE TOWN – Penggunaan platform digital termasuk laman web dilihat memberi kesan positif kepada hampir keseluruhan sektor perniagaan terutamanya ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.

 

 

 

Justeru, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menekankan bahawa para usahawan di negara ini terutamanya generasi muda perlu menguasai proses pendigitalan bukan sahaja dalam sektor perniagaan malah juga untuk mendapatkan pekerjaan.

 

 

 

“Proses pendigitalan pada hari ini adalah suatu kemestian yang perlu dikuasai oleh usahawan dan belia di negara ini terutamanya dalam persaingan merebut peluang pekerjaan.

 

 

 

“Hal ini kerana era digital tidak lagi terhad kepada perniagaan semata-mata, bahkan bidang pendidikan juga sekarang menuju ke arah pendigitalan dalam memastikan proses penyampaian menjadi lebih berkesan,” ujar beliau ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Penciptaan Laman Web Perniagaan 2022 Peringkat Kebangsaan anjuran Kolej Vokasional Batu Lancang bersama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

 

 

Hadir sama, Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling; Pengarah Koleh Vokasional Batu Lancang, Abdul Salim Abdul Samad; Ketua Unit Perhubungan dan Latihan Industri Kolej Vokasional Batu Lancang, Oh Zi Jian; tenaga-tenaga pengajar Kolej Vokasional terlibat dan para peserta yang mengambil bahagian.

 

Majlis yang mendapat penyertaan kira-kira 300 orang peserta seluruh negara tersebut dijalankan secara maya melalui aplikasi Zoom.

 

 

 

Dengan sambutan menggalakkan dari 47 buat Kolej Vokasional seluruh negara, Lip Chee berpendapat bahawa belia hari ini sebenarnya tidak ketandusan bakat dalam bidang penciptaan laman web.

 

 

 

“Saya gembira apabila penyertaan memenuhi sasaran, dan saya juga percaya para peserta akan menggunakan platform pertandingan ini untuk mempertajamkan lagi kebolehan mereka selepas ini.

 

 

 

“Menang atau kalah bukan ukuran, apa yang peting adalah jadikan pentas ini sebagai medan untuk meningkatkan lagi kemahiran dan kebolehan anda mencipta laman web pada masa akan datang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

 

 

 

Sementara itu, Abdul Salim dalam ucapannya memberitahu bahawa bidang penciptaan laman web hari ini sangat diperlukan oleh majikan.

 

 

“Dunia sekarang berubah kepada digital, jadi mahu tidak mahu kita perlu berubah kerana ia melibatkan daya saing sumber manusia.

 

 

“Ini selaras dengan perubahan dunia kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)… saya berharap para peserta akan terus menimba ilmu berkaitan bidang ini seterusnya membantu memacu negara untuk bersaing pada peringkat antarabangsa,” katanya.

 

 

Dalam pertandingan tersebut, pasukan Kolej Vokasional Taiping muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 manakala tempat kedua dimenangi oleh Kolej Vokasional Port Dickson (RM300) dan Kolej Vokasional Kuala Kangsar di tempat ketiga (RM200).

 

 

 

Tujuh lagi Kolej Vokasional turut dipilih sebagai penerima saguhati.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD