Pendaftaran Skyclimb 2027 dibuka, tawar hadiah sehingga RM18,000

Admin
594d0a4d 1258 4369 ac87 6b95f1517f40
GEORGE TOWN – Cabaran larian mendaki SkyClimb 2027 – Penang Hill Hiking Challenge bakal membuka tirai buat julung kalinya hasil kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam bersama Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC).
ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, pendaftaran penyertaan yang menyasarkan 500 peserta itu dibuka mulai hari ini sehingga 20 Disember 2026.
306bdbb8 fbcf 4b0c 8109 28c65751e6a7 7b0c39e8 d386 4d18 a4de 504e301c4393
Tambah Soon Siang, acara tersebut akan bermula dari Gerbang Laluan Tangga Warisan melalui Penang Hill Heritage Arch hingga ke puncak Bukit Bendera, dengan pelepasan peserta bermula pukul 7.30 pagi.
“SkyClimb 2027 turut bertujuan mengetengahkan Bukit Bendera dan Laluan Warisannya sebagai destinasi pelancongan sukan, selain memberi pengiktirafan kepada atlet berprestasi menerusi penubuhan SkyClimb Hall of Fame.
“Ini merupakan satu usaha untuk menjadikan SkyClimb sebagai acara tahunan yang berprestij dan dinantikan, selain memberi peluang kepada peserta menguji kemampuan masing-masing di laluan yang mencabar.
“Nama juara bagi setiap kategori akan diabadikan pada papan SkyClimb Hall of Fame yang ditempatkan berhampiran garisan penamat di puncak Bukit Bendera,” ujarnya pada sidang media sempena pelancaran SkyClimb 2027 dekat Stesen Bawah Bukit Bendera di sini hari ini.
Menurut Soon Siang, cabaran sejauh 2.36 kilometer itu menawarkan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan RM18,000 menerusi empat kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran dan Wanita Veteran.
“Bagi setiap kategori, juara bakal membawa pulang RM2,500 berserta trofi dan sijil, manakala tempat kedua menerima RM1,000 dan tempat ketiga RM500.
“Hadiah turut disediakan kepada peserta tempat keempat hingga ke-10,” jelasnya.
Pada sidang media sama, beliau turut mengumumkan pelari menara nombor satu dunia dan juara dunia, Soh Wai Ching diumumkan sebagai duta acara berkenaan.
Difahamkan, Wai Ching yang memegang rekod Malaysia Book of Records bagi pendakian terpantas di Laluan Warisan Penang Hill dengan catatan 25 minit 55 saat, walau bagaimanapun tidak akan menyertai pertandingan tersebut bagi memberi peluang kepada peserta lain memecahkan rekod berkenaan.
Mengulas lanjut, Soon Siang memberitahu bahawa pertandingan menggunakan format ujian masa individu (Individual Time Trial) dengan peserta dilepaskan seorang demi seorang pada sela masa lima atau 10 saat, bergantung kepada jumlah penyertaan.
“Setiap peserta yang berjaya menamatkan cabaran sebelum waktu tutup pada pukul 12 tengah hari turut menikmati perjalanan turun secara percuma menggunakan perkhidmatan funikular Bukit Bendera, tertakluk kepada ketersediaan.
“Yuran penyertaan ditawarkan pada kadar promosi RM79 sehingga 15 November ini, diikuti RM99 bagi pendaftaran awal dan RM119 bagi pendaftaran lewat,” tambahnya lagi sambil memaklumkan bahawa setiap peserta yang berjaya menamatkan cabaran akan mendapat baju penamat (finisher T-shirt) yang memaparkan nama peserta.
Kepada peminat sukan lasak tersebut boleh membuat pendaftaran melalui pautan; https://www.mep21-online.com/event-info.php?eid=66608 atau https://howei.com/event_details/skyclimb2027penanghillhikingchallenge.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN