SEBERANG JAYA – Guru dan penolong guru di taman didikan kanak-kanak (Tadika) serta taman asuhan kanak-kanak (Taska) di bawah kendalian Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pulau Pinang diseru terus menggalas amanah mendidik generasi muda dengan nilai perpaduan, hormat-menghormati dan kefahaman antara kaum.

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, warga pendidik merupakan ejen perpaduan yang memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang harmoni sejak peringkat awal pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang menghimpunkan 240 guru dan penolong guru serta 53 kakitangan JPNIN di sini hari ini.
“Melalui pendidikan awal kanak-kanak, nilai saling menghormati dan memahami kepelbagaian budaya dapat diterapkan bagi memperkukuh keharmonian dalam masyarakat majmuk negara.
“Profesion keguruan merupakan amanah yang amat mulia kerana guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah, nilai murni dan jati diri generasi masa depan,” katanya.
Choon Aik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik Tadika dan Taska Perpaduan atas dedikasi serta komitmen mereka dalam mendidik anak-anak.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak berkepentingan dalam institusi pendidikan tersebut menghayati tema sambutan Hari Guru tahun ini, ‘Guru Bitara Nadi Negara’.
“Dalam era yang semakin mencabar dan dipacu kemajuan teknologi, guru berperanan sebagai pembimbing yang membantu murid menguasai ilmu, mengembangkan potensi diri serta membina pemikiran kritis dan kreatif,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar JPNIN meneruskan penganjuran program pembangunan profesional dan peningkatan kemahiran guru serta pengasuh dengan memanfaatkan peruntukan di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perpaduan Masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Pulau Pinang, Dr. Zulkhairi Zainal, merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan pelbagai pihak dalam usaha memperkasa mutu pendidikan di 116 kelas Tadika Perpaduan dan tiga Taska Perpaduan di Pulau Pinang.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB