Pendidikan asas agama masing-masing kuatkan jati diri remaja, pelajar – Kon Yeow

Admin
GAMBAR kenang-kenangan seusai majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Bacaan Thirumurai Ke-45 Anjuran Malaysian Hindu Sangam (MHS) Batu Kawan Local Council Bersama Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Valdor dekat Bukit Tambun di sini pada 15 Julai 2023.

BUKIT TAMBUN – Penerapan aspek pendidikan asas agama kepada kelompok remaja dan pelajar mengikut kepercayaan masing-masing akan menguatkan lagi jati diri mereka dalam menghadapi pelbagai anasir dalam era moden kini.

CHOW Kon Yeow menyampaikan ucapan perasmian majlis berkaitan di sini tadi.

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Bacaan Thirumurai Ke-45 Anjuran Malaysian Hindu Sangam (MHS) Batu Kawan Local Council Bersama-sama Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Valdor di sini pada 15 Julai 2023.

“Dalam mendepani cabaran dan konflik era tanpa sempadan masa kini, pembangunan sosial adalah antara aspek yang telah menerima kesan dan tempias yang sangat mendalam.

“Golongan remaja dan belia merupakan generasi yang dikaitkan dengan situasi ini, melibatkan masalah kesejahteraan mental, pergaulan bebas yang tidak sihat, masalah keluarga dan peperangan siber.

“Namun begitu, kita percaya apa jua permasalahan yang wujud mampu ditangani apabila perkara asas diberikan pertimbangan sewajarnya dan bergerak seiring dengan usaha menanganinya secara holistik.

“Di sinilah pegangan dan pendidikan asas agama mengikut kepercayaan masing-masing yang menjadi kekuatan dan sumber rujukan utama bagi mengimbangi tahap sosial golongan yang terkesan ini,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

SUASANA hadirin yang menyertai majlis di sini tadi.

Kata mantan Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pentadbirannya akan terus melaksanakan peranan hakiki sebagai sebuah Kerajaan Negeri iaitu merancakkan aktiviti pelaburan dan ekonomi di Pulau Pinang, sekali gus mencipta lebih banyak peluang kerjaya kepada semua kelompok masyarakat serta mensejahterakan keluarga mereka.

Buletin Mutiara difahamkan, seramai 130 peserta dalam koridor usia empat tahun hingga 35 tahun telah menyertai Pertandingan Bacaan Thirumurai di sini.

Peserta, adalah dalam kalangan pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Valdor, SJKT Ladang Batu Kawan, Tadika Pavitra, Institut Pengajian Guru (IPG) Tengku Bainon, sekolah-sekolah menengah sekitar kawasan Parlimen Batu Kawan termasuk Simpang Ampat serta penuntut beberapa universiti swasta.

Kon Yeow sendiri menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut.

Turut serta, mantan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengerusi Majlis Negeri Pulau Pinang MHS, R. Santarasegaran dan Naib Pengerusinya, A. Tharman; Pengerusi MHS Batu Kawan Local Council, P. Saroja; Pengerusi Pertandingan Bacaan Thirumurai Ke-45, B. Sasirekah dan barisan pentadbir sekolah-sekolah yang terlibat dalam pertandingan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD