Menang Puskas, Faiz terima imbuhan RM50,000

Bola sepak permainan berpasukan, dan bukannya bergantung kepada saya seorang – Mohd. Faiz

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri menyumbangkan imbuhan RM50,000 sebagai hadiah istimewa kepada pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Mohd. Faiz Subri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, imbuhan tersebut adalah sumbangan khas Kerajaan Negeri kepada penyerang Pasukan Bola Sepak Pulau Pinang tersebut yang berjaya mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama menerima anugerah berkaitan.

“Apatah lagi, (Mohd.) Faiz pemain Malaysia dan yang paling utama ialah dari Pulau Pinang.

“Saya percaya, kejayaan yang dicapai beliau boleh dicontohi dan diteladani khususnya oleh anak-anak muda. (Dan) untuk menempa kejayaan seperti (Mohd.) Faiz, tiada jalan pintas, beliau telah berusaha keras, rajin dan berdisiplin.

“Kejayaan (Mohd.) Faiz bukan sahaja mengharumkan nama Pulau Pinang, malah turut mengharumkan nama Malaysia… belum ada pemain Malaysia yang berada di pentas antarabangsa dan ditontoni serata dunia,” katanya ketika menyambut kepulangan Mohd. Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di sini, 11 Januari lalu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff; Naib Presiden FAP, Datuk Gary Nair dan Pengurus Pasukan Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Turut bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri ialah bapa wira tersebut, Subri Kadir, 65, dan ibu, Sa’adiah Ishak, 55. Menemani Faiz ialah isterinya, Nor Zawanis Hashim bersama-sama dua anak lelakinya.

Turut kelihatan adalah hampir 500 penyokong setia skuad Harimau Kumbang.

Sebelum ini, Mohd. Faiz pernah menerima insentif berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Negeri hasil jaringan luar biasa berkaitan.

Gol ajaib sentuhan penyerang Pulau Pinang itu yang disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ ketika perlawanan  menentang Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lalu menjadi viral di media sosial sekaligus membolehkan beliau tercalon dan seterusnya merangkul anugerah berprestij dunia dalam arena bola sepak.

Anugerah tersebut sekaligus menobatkan jaringan beliau sebagai ‘Gol Paling Cantik’ sepanjang tahun 2016,  mengetepikan dua finalis lain iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita dari Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Keputusan tersebut diumumkan pada awal pagi 10 Januari lalu di Switzerland.