Penduduk Balik Pulau diseru jaga kebersihan, bantu Kementerian sepanjang kempen Melawat Malaysia 2020 – Muhammad Bakhtiar

Admin

PULAU BETONG – Pada tahun lepas, Malaysia telah menerima kunjungan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dengan jumlah perbelanjaan pelancongan sebanyak RM84.1 bilion.

Menjelang tahun 2020, Kementerian telah menetapkan sasaran kedatangan pelancongan seramai 30 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion.

Muhammad Bakhtiar bersama-sama para tetamu jemputan khas.

l

Justeru, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, penduduk Balik Pulau hendaklah bersama-sama menyahut dan mendukung hasrat Kementerian sepanjang kempen Melawat Malaysia 2020.

“Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya sedar bahawa terdapat banyak potensi pelancongan di sini seperti Pantai Pasir Panjang, Program Pengalaman Homestay Malaysia, Saanen Dairy Goat Farm, Street Art oleh Julia Volchkova dan sebagainya untuk diketengahkan kepada para pelancong.

“Namun, keindahan kawasan sekitar Balik Pulau akan musnah sekiranya penduduk tidak menjaga kebersihan dan membuang sampah di merata-rata tempat.

“Keadaan ini lama-kelamaan akan menyebabkan jumlah kedatangan pelancong asing ke Balik Pulau menjadi semakin berkurangan kerana disajikan dengan longgokan sampah sarap.

“Justeru, penduduk Balik Pulau hendaklah mengambil contoh sikap penduduk Bandar Muar, Johor yang telah dipilih untuk menerima Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard Award pada tahun 2017,” ucapnya semasa Program Voluntourism Malaysia, Bersih dan Indah di Dataran Pancing Jeti Nelayan Pulau Betong, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, selebriti terkenal tanah air, Maya Karin, Duta River of Life; wakil Majlis Bandaraya Pulau
Pinang, wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Balik Pulau, sukarelawan dari Politeknik Balik Pulau, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Ara, Persatuan Nelayan Pulau Betong dan ahli-ahli Trash Hero.

Mengulas lanjut, Muhammad Bakhtiar menyatakan keyakinan bahawa Balik Pulau mampu menerima pengiktirafan yang sama sekiranya semua pihak melaksanakan tanggungjawab menjaga kebersihan sekitar.

Difahamkan, beberapa aktiviti turut disusun bagi menjayakan Program Voluntourism Malaysia, Bersih dan Indah seperti membersihkan kawasan sekitar termasuk sungai, menanam pokok, pengauditan sampah dan membina Ecobricks.

Menariknya mengenai program tersebut adalah segala sampah sarap yang dikumpul oleh para sukarelawan akan dikumpulkan di satu kawasan dan diaudit untuk melihat kecenderungan jenis sampah yang dibuang dekat kawasan terbabit.

Wakil Trash Hero menerangkan cara pembinaan Ecobricks daripada sampah sarap seperti plastik dan botol air.

Ecobrick ialah satu kaedah lestari untuk mengitar semula plastik kerana sifat plastik yang non-biodegradable dan tahan lasak akan mengambil masa beratus tahun untuk mereput secara semula jadi.

Justeru, pembinaan ecobricks secara tidak langsung menghalang plastik daripada mencemari ekosistem alam melalui kaedah kitar semula yang kreatif.

Kaedah ini juga boleh digunakan untuk membina perabot, dinding, modular structure, bangunan dan sebagainya.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: IDZHAM AHMAD