Penduduk Flat Taman Permai Jaya lega Kerajaan Negeri bantu baik pulih bumbung, tangki air

PADANG LALANG – Penduduk Flat Taman Permai Jaya, di sini menarik nafas lega apabila tangki air dan bumbung yang rosak sejak sekian lama telah siap dibaik pulih  melalui bantuan daripada Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng berkata, kos seluruhan untuk kerja-kerja penggantian bumbung adalah berjumlah RM34,442.37 yang mana Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM27,553.90 (80 peratus) melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

“Manakala 20 peratus lagi atau RM6,888.47 ditanggung oleh pihak Perbadanan Pengurusan Taman Permai Jaya.

“Bagi kerja membaik pulih tangki air pula, kos keseluruhan dibelanjakan adalah berjumlah RM15,600 yang mana sebanyak RM12,480 dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan RM3,120 ditanggung oleh Pejabat ADUN Padang Lalang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Flat Taman Permai jaya.

Dalam pada itu, Chong Eng turut memuji sikap prihatin pengerusi perbadanan flat berkenaan yang bijak menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

“Tahniah kepada pengerusi penduduk di sini kerana bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk dan kita berharap lebih banyak pihak pengurusan yang berani mengambil langkah seperti ini,” katanya yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Taman Permai Jaya, Normah Mohd. Zulkapli memberitahu bahawa sekurang-kurangnya RM1,000 mampu dijimatkan oleh pihak pengurusan selepas kerja-kerja membaik pulih tangki dan bumbung selesai dijalankan.

“Sebelum ini pihak pengurusan terpaksa mengeluarkan bayaran mencecah RM16,000 sebulan disebabkan tangki yang mengalami kebocoran dan jumlah ini dapat dikurangkan selepas kerja membaik pulih siap dijalankan sepenuhnya.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin terhadap nasib penduduk di sini,” ujarnya lagi sambil menambah pihaknya kini sedang mengemukakan permohonan untuk membaik pulih sebuah lagi tangki air yang mengalami kebocoran.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF