Penduduk jadi mata-mata cegah denggi – Exco

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT MERTAJAM – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin mengingatkan penduduk negeri ini supaya sentiasa menjaga kebersihan di sekitar kawasan kediaman masing-masing bagi memerangi wabak denggi yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Seruan tersebut adalah hasil lawatan ke tapak pembuangan sampah haram dan pembiakan nyamuk aedes di dua tingkat parkir kereta bawah tanah terbiar sebuah pusat membeli-belah yang menjadi kawasan takungan air di sini.

“Penemuan ini sangat mengejutkan kerana pihak kesihatan sendiri tidak menjangka enam kes denggi di kawasan berdekatan berpunca daripada bangunan terbiar ini.

“Sungguhpun begitu, tindakan  pantas pihak-pihak berkenaan telah berjaya menyelesaikan punca wabak denggi apabila takungan air tersebut telah diubati dengan sewajarnya,” ujarnya pada sesi lawatan khas tersebit di sini baru-baru ini.

Turut serta, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Jusni Ismail, pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Menurut Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, notis akan diberikan kepada pemilik bangunan berkenaan untuk tujuan pembersihan premis.

“Kita juga akan mengambil tindakan seperti digariskan pihak Jabatan Kesihatan terhadap pemilikpemilik premis yang didapati ‘memiliki’ lokasi pembiakan nyamuk aedes,” tegas beliau.

Serentak itu, Afif turut meninjau lokasi berhampiran yang dipercayai dijadikan tempat pembuangan sampah haram yang secara tidak langsung turut menjadi faktor penyumbang.

 “Sekurang-kurangnya 118 lokasi telah dikenalpasti sebagai tempat pembuangan sampah haram di seluruh Seberang Perai.

“Angka ini amat mengejutkan kerana masih ramai yang tidak menggunakan tempat disediakan MPSP, sebaliknya memilih untuk membuang sampah di lokasi tidak sepatutnya.

“Saya harap penduduk setempat dapat menjadi mata-mata untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani masalah ini dengan melaporkan kepada MPSP dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sekiranya ternampak tindakan tidak bertanggungjawab ini,” seru Afif.