Pulau Pinang – Aceh kukuh kerjasama, baharui perjanjian

Admin

GEORGE TOWN – Hubungan dua hala antara Pulau Pinang dan Aceh terus diperkukuhkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu baru-baru ini di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, MoU ditandatangani tersebut adalah untuk memperkukuhkan kerjasama antara dua negeri dalam bidang perdagangan dan pelaburan, sama seperti MoU terdahulu.

“Kita (Kerajaan Negeri) melihat potensi melalui kerjasama yang telah terjalin sejak kurun ke-18 lagi dan kini, kita bersetuju untuk
melanjutkan lagi kerjasama melalui MoU ini bagi tempoh empat tahun sehingga 2017.

“Pelancongan, pembangunan sumber manusia, perdagangan, pelaburan dan industri halal adalah antara sektor dikenalpasti bagi kerjasama ini yang juga membolehkan kedua-dua pihak menerokai lebih banyak peluang dalam apa jua bidang,” ucapnya pada Seminar Pelaburan/Perniagaan dan Majlis Menandatangani MoU di sini baru-baru ini.

Perjanjian tersebut adalah antara investPenang (iP) yang diwakili Pengurus Besarnya, Loo Lee Lian dan Kepala Badan Penyelaras Investasi Aceh, Ir. Iskandar sambil disaksikan Guan Eng dan Gabenor Wilayah Aceh, Dr. H. Zaini Abdullah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Konsul Jeneral Republik Indonesia, Ronald Josef Pariaman Manik dan Penasihat Khas kepada Ketua Menteri yang juga Pengarah iP, Datuk Lee Kah Choon.

Sebagai tambahan, Guan Eng turut berharap hubungan terjalin antara Pulau Pinang dan Aceh dapat dikekalkan dan menjadi lebih erat dengan menumpu kepada potensi yang boleh dibangunkan bersama.

Dalam pada itu, Zaini yang turut berucap berkata, hubungan baik dua hala dengan Pulau Pinang bukan sahaja meningkatkan kemakmuran masa depan rakyat Aceh, tetapi juga memberi manfaat keseluruhannya.

“Untuk jangka waktu panjang, kerjasama ini mampu menghasilkan pulangan kepada rakyat sama ada secara langsung mahupun dalam lapangan-lapangan yang mempunyai kepentingan bersama.

“Saya percaya, hubungan Pulau Pinang – Aceh secara keseluruhannya membuka jalan lebih baik antara kedua-dua wilayah dalam
bidang ekonomi dan sosial,” tambahnya.

Sebagai rekod, pada 20 September 2010, Kerajaan Negeri melalui iP dan Badan Penyelaras Investasi Aceh (yang dahulunya dikenali sebagai Badan Investasi dan Promosi Aceh) telahpun menandatangani MoU kerjasama dalam bidang promosi pelaburan untuk jangka masa tiga tahun.