Penduduk Kampung Tok Subuh terharu Kerajaan Negeri bantu bina rumah

Admin

SEMBILAN tahun lalu, seramai 52 penduduk di Kampung Tok Subuh, Bukit Mertajam seakan-akan hilang punca selepas menerima notis daripada mahkamah yang mengarahkan mereka mengosongkan tanah yang didiami lebih 35 tahun lalu.

Kini, sebahagian daripada penduduk kampung itu mampu menarik nafas lega kerana masing-masing telah mendapat sebuah rumah baru melalui pembangunan projek perumahan rakyat (PPR) oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melibatkan kos lebih RM4.4 juta.

Terima ‘surat cinta’

Bercakap kepada Buletin Mutiara, salah seorang penduduk terlibat HAMIDAH CHE EMBI, 54, melahirkan rasa terharu atas sikap prihatin Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berusaha membantu penduduk Kampung Tok Subuh sehingga berjaya memiliki rumah sendiri.

Mengimbau kembali apa yang berlaku, beliau menjelaskan bahawa semua penduduk kampung tersebut mula menerima ‘surat cinta’ daripada pihak pemaju pada Mei 2013 iaitu seminggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Hamidah menyifatkan rumah yang didiami hasil usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini jauh lebih selesa.

“Apabila menerima ‘surat cinta’ daripada syarikat pemaju untuk meminta agar kami berpindah, pada masa itu kami semua tersentak dan mula hilang punca.

“Pada hari kedua, kami mula berbincang dan membuat keputusan untuk mempertahankan hak kami kerana pampasan yang ditawarkan oleh pihak pemaju sangat tidak setimpal dan tidak mampu untuk membeli atau membina sebuah rumah baharu.

“Ada di antara penduduk hanya dapat RM5,000… ada juga dapat RM7,000 hingga RM15,000 bergantung kepada keadaan dan keluasan rumah, sedangkan kami mahu rumah diganti dengan rumah.

“Pada masa itu, pihak pemaju beri kami masa selama tiga bulan untuk nyatakan jawapan dan sekiranya masih enggan berpindah, maka kami akan diusir secara paksa,” katanya memulakan bicara.

Beliau berkata, pada asalnya jumlah penduduk di kampung tersebut adalah seramai 52 orang tetapi hanya 26 orang sahaja yang memilih untuk bertahan dan memperjuangkan hak masing-masing.

“Selebihnya, mereka memilih untuk menerima duit pampasan daripada pemaju dan berpindah dari sini kerana kebanyakan penduduk adalah dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan,” ujarnya.

Mohon bantuan

Hamidah berkata, untuk mendapatkan keadilan, beliau bertindak menemui beberapa pemimpin politik sebuah parti Melayu termasuk pemimpin tertinggi parti itu di negeri Pulau Pinang, namun berakhir dengan perasaan kecewa.

Hamidah Che Embi.

“Sebelum ini, ahli politik berkenaan berjanji akan membantu kami untuk mendapatkan sebuah rumah PPR tetapi apa yang dijanji tidak pernah ditunaikan.

“Beliau juga tidak berikan sebarang penyelesaian dalam isu ini, sebaliknya menasihati kami untuk berpindah atau membeli rumah baharu untuk didiami tanpa apa-apa penjelasan mengenai perkara yang sedang kami hadapi.

“Pada waktu itu, kami benar-benar kecewa kerana pihak yang selama ini kami sokong dan anggap sebagai pemimpin yang boleh bergantung harap langsung tidak sudi untuk membantu.

“Lebih kecewa lagi apabila pemimpin berkenaan menyalahkan kami kerana tinggal di atas tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) selama 30 tahun tanpa ada usaha untuk membeli tanah atau mendirikan rumah sendiri,” katanya dengan nada kecewa.

Hamidah berkata, beliau dan beberapa penduduk bertindak membawa perkara itu ke mahkamah sehingga suaminya, SOLIHIN SABLI, 58, akhirnya diisytiharkan bankrap pada 2015.

“Selepas mendapat bimbingan daripada beberapa individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, saya dan suami bersetuju untuk mewakili penduduk bagi membawa kes ini ke mahkamah.

“(Dan) selepas dua tahun turun naik mahkamah, akhirnya kami kalah dalam kes ini sehingga suami saya diisytiharkan bankrap,” ujarnya lagi yang kini dilantik sebagai pengerusi bagi komuniti PPR berkenaan.

Dibantu wakil rakyat Kerajaan Negeri

Kecewa dengan jawapan pemimpin parti politik Melayu tersebut, Hamidah berkata beliau kemudiannya disaran untuk mendapatkan pertolongan daripada wakil rakyat Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan).

“Alhamdulillah… masalah kami didengari dan diberi jaminan bahawa kami akan mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pada ketika itu ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

“Saya kemudiannya menghubungi YB Lee Khai Loon (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Machang Bubok) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Steven Sim (Chee Keong) untuk menerangkan perkara yang berlaku kepada penduduk Kampung Tok Subuh.

“Selepas seminggu, YB Lee Khai Loon datang sendiri berjumpa dengan penduduk kampung untuk mendengar permasalahan yang kami hadapi.

“Saya memang tak sangka YB Lee Khai Loon dan YB Steven Sim sudi membantu kami sehingga sanggup bermalam bersama-sama penduduk di sini kira-kira dua minggu bagi memastikan kami tidak diusir,” ulasnya lanjut.

Jab Samad, 75 (kanan), antara individu yang banyak membatu penduduk Kampung Tok Subuh.

Tambah Hamidah, bukan sahaja dua wakil rakyat setempat, malah penduduk kampung juga turut menerima lebih banyak sokongan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan.

“Pada masa itu, hanya pemimpin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sanggup membantu dan turun untuk berbincang mengenai masalah yang kami hadapi,” jelasnya.

Sinar mula menjelma

Bercerita lanjut, Hamidah memberitahu bahawa pertemuan dengan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada tahun 2015 telah memberikan sedikit sinar kepada penduduk Kampung Tok Subuh.

“Pada tahun 2015, YB Lim Guan Eng jemput kami semua (26 orang) ke pejabat beliau dekat Komtar dan memberi penegasan bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha membantu membina perumahan baru untuk penduduk kampung.

“(YB) Guan Eng akhirnya setuju untuk membina rumah PPR di Kampung Tok Subuh (Taman Markisa) di atas tanah milik Kerajaan Negeri.

“Pada masa itu, Pejabat Tanah (Seberang Perai Tengah) juga ada menawarkan kami tanah lot berstatus TOL di Kampung Manggis dekat Permatang Tinggi, tetapi kami tolak kerana bimbang peristiwa sama berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akhirnya memulakan projek PPR Kampung Tok Subuh pada tahun 2018 yang mana pada awalnya dijangka siap pada tahun 2020.

“Namun begitu, projek perumahan ini telah tertangguh lebih setahun dek kerana penularan pandemik COVID-19 dan penduduk terpaksa membayar sewa rumah dalam tempoh ini.

“Walau bagaimanapun, atas sikap prihatin, Kerajaan Negeri telah membayar kembali sewa rumah selama empat bulan melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Jadi masing-masing menerima RM2,000 daripada PDC,” katanya sambil menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Dokumen berkaitan projek PPR Tok Subuh yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Hamidah menyatakan bahawa kesemua 26 penduduk Kampung Tok Subuh akhirnya menerima kunci rumah pada Disember 2021 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Anggaran harga bagi sebuah rumah PPR ini saya difahamkan adalah bernilai RM100,000, tetapi kami hanya perlu membayar RM25,000 sahaja manakala baki RM75,000 lagi ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

“Sementara itu, penduduk asal kampung ini pula diberikan rumah ini secara percuma oleh Kerajaan Negeri,” ulasnya.

Tuduhan rasis hanya propaganda

Dengan segala kemelut yang berlaku, Hamidah menegaskan bahawa tuduhan yang mengatakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersikap rasis dan menindas orang Melayu hanyalah propaganda politik semata-mata.

“Kami betul-betul berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang kerana membantu rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa atau agama.

“Malah, fitnah jahat yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertanggungjawab di sebalik pengusiran tersebut juga adalah tidak benar sama sekali,” tegasnya.

Hamidah menyatakan bahawa mereka yang percaya terhadap tuduhan tersebut adalah kumpulan yang belum pernah melalui kemelut tersebut dan tidak mengenali wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan secara dekat.

“Sebenarnya, mereka yang sering beranggapan Kerajaan Negeri bersifat rasis adalah mereka yang belum melalui proses ini, dan boleh dikatakan mereka ini tidak pernah sekali pun berjumpa dengan wakil rakyat (Pakatan Harapan).

“Sebagai orang yang melalui semua kepayahan ini, saya boleh katakan bahawa semua tuduhan jahat yang dilemparkan kepada Kerajaan Negeri hanyalah fitnah dan mainan politik semata-mata.

“Sedangkan pihak yang membantu kami adalah wakil-wakil rakyat, Ahli-ahli Majlis dan pemimpin setempat daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Oleh itu, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat terutamanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana sanggup membantu orang-orang susah seperti kami,” katanya mengakhiri bicara.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS