Penduduk lokal diutamakan untuk diami unit rumah kos rendah, jika layak – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri dalam sesi sidang media sebelum menyempurnakan acara majlis pecah tanah projek perumahan tiga tingkat rumah pangsa kos rendah dekat Lorong Murai Jaya di Bukit Tambun pada 15 Ogos 2022.

BUKIT TAMBUN – Dengan kos hampir RM6.45 juta, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bakal membina tiga tingkat rumah pangsa kos rendah di atas sebidang tanah terbiar dekat Lorong Murai Jaya di sini dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan dari sekarang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa penduduk lokal yang layak akan diberi keutamaan untuk ditawarkan kediaman menerusi projek yang bakal terdiri daripada 36 kediaman dengan luas lantai setiap unit 700 kaki persegi melalui kaedah sewa beli (rent-to-own) dalam tempoh sehingga 25 tahun sebagaimana ditetapkan oleh LPNPP.

Penjelasan Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu adalah sebagai respons kepada permohonan dan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik supaya LPNPP selaku agensi negeri memberi keutamaaan kepada penduduk lokal yang layak apabila projek rumah kos rendah tersebut siap, kelak.

“Mengenai seruan dan permintaan wakil rakyat (iaitu Choon Aik), biasanya kita akan memberi keutamaan kepada penduduk atau pemohon (yang layak dan tinggal) di sekeliling (kawasan ini).

“Rumah ini mungkin tidak akan dijual tetapi pemohon yang layak akan ditawarkan membayar sewa (melalui kaedah) ‘rent-to-own’ yang mana apabila habis tempoh (‘rent-to-own’) berkenaan dalam tempoh 20 tahun atau 25 tahun (iaitu) bayaran setiap bulan (selesai), akhirnya rumah ini akan menjadi milik penduduk.

“Maksudnya, mereka tidak perlu mendapatkan pinjaman (perumahan) daripada bank (terlebih dahulu), tetapi boleh terus masuk (mendiami rumah kos rendah) kerana ini tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri,” jelasnya sebelum menyempurnakan acara majlis pecah tanah projek tersebut di sini pada 15 Disember 2022.

Selain Choon Aik, turut serta adalah ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Marlia Mohd. Belia, Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Baderul Amin Abdul Hamid dan juru perunding projek berkenaan.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa selepas kira-kira 35 tahun tanah berkeluasan 0.8 ekar tersebut terbiar dan tidak dibangunkan dengan projek Rumah Mampu Milik (RMM) kategori kos rendah berwajib, firma pemaju swasta berkenaan akhirnya bersetuju menyerahkan tanah lapang itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kemudiannya, Kerajaan Negeri melalui LPNPP melantik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai agen pelaksana dan pengurus projek tersebut di atas tanah terbiar itu.

Dalam perkembangan berasingan, sebelum itu, Kon Yeow bersama-sama barisan pemimpin negeri lain menjayakan Program Jelajah Ketua Menteri ‘❤️PENANG’ Ke Parlimen Batu Kawan.

Mereka, antara lain turut meluangkan masa melawat kebun komuniti yang diusahakan oleh Persatuan Penduduk Taman Murai Jaya di sini.

Semasa berucap, Kon Yeow memuji usaha kolektif sekalian anggota persatuan penduduk berkenaan kerana berjaya menukar 1,200 kaki persegi kawasan lapang yang terbiar selama hampir enam tahun menjadi kebun kejiranan dengan landskap yang menarik serta mengeluarkan hasil pertanian.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang akan terus menyokong segala usaha mewujudkan golongan petani moden bandar, sebagaimana usaha kolektif berjaya dilaksanakan oleh Persatuan Penduduk Taman Murai Jaya di bawah pengerusi, Goh Choon Wei.

“Pujian harus diberikan atas komitmen dan kesungguhan penduduk menjayakan program ini…kini mempunyai kira-kira 200 pokok seperti terung dan bendi di kebun komuniti ini.

“Ia, sekali gus membantu mengubah imej kawasan terbiar kepada kebun bandar yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa galakan aktiviti pertanian bandar yang kian dirancakkan bermula pada tahun 2021 adalah selari dengan program APPGM-SDG (All Party Parliamentary Group Malaysia for Sustainable Development Goals) iaitu sebuah program penglibatan komuniti mengikut kawasan parlimen.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyaksikan wakil Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang menyampaikan 100 unit kit pertanian komuniti kepada penduduk setempat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN